Tuesday, July 26, 2011

Tema 2 : Transformasi Masyarakat

Tema 2 juga merupakan tema yang penting kepada calon-calon Sejarah STPM. Untuk memahami tema ini calon harus mengaitkan apa yang dipelajari dalam tema 1 (masyarakat tempatan) dengan perubahan yang dibawa oleh British sebagai kesan campurtangan kuasa asing tersebut.

Saya cuba untuk memudahkan calon mempelajari bahagian ini dengan memberi fokus kepada tajuk-tajuk berikut :-

a. Faktor-faktor campurtangan British
b. Perjanjian Pangkor
c. Dasar campurtangan / tidak campurtangan
d. Migrasi / Majmuk
e. Penentangan masyarakat di Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak
f. Sistem Residen, Persekutuan 1896, Desentralisasi
g. Perkembangan pendidikan vernakular

Nota dibawah diharap dapat membantu anda..

Campur tangan British di Tanah Melayu

Campur tangan British dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu telah membawa kepada pemindahan kuasa pentadbiran daripada raja-raja Melayu kepada pegawai-pegawai yang dilantik oleh pihak British untuk mentadbir dan menguruskan semua aspek pentadbiran negeri-negeri Melayu kecuali pengurusan agama Islam dan juga adatresam orang-orang Melayu.
Campur tangan ini kemudiannya membawa kepada penjajahan sepenuhnya negeri-negeri Melayu di bawah penguasaan British. Penyerahan kuasa ini dibuat secara rela oleh raja-raja Melayu dengan hanya mendapat janji-janji palsu dan pemberian pencen kecil yang diberikan oleh kerajaan British.

Dasar Tidak Campur Tangan

Pada awalnya, Syarikat India Timur (British East India Company) enggan campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Ini kerana Syarikat India Timur adalah sebuah badan perniagaan yang hanya meletakkan penekanan kepada mengaut keuntungan melalui perdagangan secara aman damai. Dengan cara ini, Syarikat India Timur berpendapat kemakmuran dapat dikecapi bersama oleh syarikat dan negeri-negeri Melayu.
Campur tangan syarikat dalam hal ehwal politik dan pentadbiran negeri-negeri Melayu boleh membawa kepada penglibatan dalam operasi ketenteraan ataupun peperangan, dan akan melibatkan perbelanjaan besar kepada Syarikat. Syarikat melihat India dan China sebagai kawasan perdagangan yang jauh lebih lumayan, dengan jumlah penduduk yang lebih besar dan tahap nilai perdagangan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri Melayu.
Pembaharuan Piagam Syarikat (Charter) oleh Parlimen Britain dalam tahun 1834 menamatkan monopoli Syarikat India Timur ke atas perdagangan candu dan lain-lain barangan dengan China. Syarikat India Timur kini terpaksa bersaing dengan lain-lain lain-lain pedagang British dan juga pedagang-pedagang dari negara-negara lain untuk membawa barang dagang dari Timur Jauh ke pasaran Eropah. Persaingan ini mengurangkan untung Syarikat India
Timur.

Pertukaran Kerajaan Di Britain
Sir Andrew Clarke

Dalam tahun 1867, Negeri-Negeri Selat dipindahkan daripada penguasaan Syarikat India Timur kepada penguasaan Pejabat Kolonial di London. Dengan ini, Gabenor dan pegawai-pegawai British di Negeri-Negeri Selat bukan lagi menjaga kepentingan Syarikat India Timur di Calcutta tetapi menjaga kepentingan kerajaan British, khususnya Pejabat Kolonial di London.

Sir Andrew Clarke dihantar ke Singapura dalam bulan November 1873 oleh Setiausaha di Pejabat Kolonial, Lord Kimberley (John Wodehouse) untuk menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat. Sir Andrew diarahkan oleh Lord Kimberley untuk mengkaji kemungkinan melantik
penasihat-penasihat British di negeri-negeri Melayu dan mengikhtiarkan supaya keamanan dan kemakmuran dapat dikembalikan ke negeri-negeri Melayu. (“see whether any steps can be
taken to promote the restoration of peace and order to secure protection to trade and commerce” dan “whether it would be advisable to appoint a British officer to reside in any of the states”)

Campur tangan British di Tanah Melayu

Arahan Sir Andrew dikukuhkan lagi apabila Benjamin Disraeli menjadi Perdana Menteri. Disraeli melihat Britain mestilah menunjukkan prestijnya sebagai kuasa terkuat di dunia dan perlu menguatkan penjajahannya di seluruh pelosok dunia. (Disraeli berpegang kepada prinsip beban orang putih (white man’s burden) bahawa Britain wajib membantu membawa tamadun dan peradaban British kepada bahagian-bahagian dunia yang lebih mundur.) Disraeli
juga risaukan kuasa-kuasa asing yang lain bertapak di Tanah Melayu. Peluang Sir Andrew terbentang luas apabila Raja Abdullah menulis surat meminta bantuan British untuk menabalkan dirinya sebagai Sultan Perak.

Pembubaran Syarikat India Timur

Syarikat India Timur dibubarkan secara rasminya pada 1 Januari 1874. Dengan itu, semua perihal penjagaan hal ehwal dan kepentingan British berpindah kepada tanggungjawab oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat. Jikalau Syarikat India Timur sebelumnya enggan bertindak mencampuri hal ehwal Negeri-Negeri Melayu, kerajaan Negeri-Negeri Selat lebih mementingkan penjagaan kepentingan British di Tanah Melayu, khususnya untuk menyekat pengaruh
kuasa barat lain seperti Perancis (bertapak dan berkembang di Indo-China) dan Empayar Jerman (merintis mewujudkan kehadiran di Pahang dan Langkawi).

Peranan Bijih Timah

Di Britain, sumber timah tempatan diperolehi daripada lombong timah di daerah Cornwall yang dibuat secara kecil-kecilan sahaja. Penggunaan bahan letupan dalam pertengahan kedua kurun ke-17 melihatkan kaedah penggunaan letupan dikawal dalam proses perlombongan. Dalam kurun ke-18, penggunaan pam berkuasa membolehkan pelombong mengepam keluar air daripada dalam lombong, dan membolehkan pengeluaran bijih di bawah paras air bawah tanah.
Menjelang than 1801, terdapat 75 buah lombong yang dikerjakan di Cornwall dengan bilangan pekerja seramai 16,000 orang. Dalam tahun 1819, dua buah syarikat besar ditubuhkan, Great Consolidated Ltd. and United Ltd. Di bawah pengurusan John Taylor, seorang jurutera perlombongan. Bijih timah dari Cornwall dihantar ke seluruh pelosok dunia. Menjelang tahun 1862, Great Consolidated dan United digabungkan menjadi Clifford Amalgamated Mines. Bilangan lombong di Cornwall meningkat kepada 346 buah lombong dengan 50,000 orang pelombong.

Cornwall mengeluarkan 10,000 ton timah setahun, separuh daripada pengeluaran dunia.
Kebangkitan Industri Mengetin Makanan Kebangkitan industri bijih Timah dijana oleh kebangkitan dalam industri mengetin makanan. Sebelum penggunaan tin, proses yang dipelopori oleh Nicolas Appert (1749-1841) boleh mengawet makanan untuk jangka masa yang
lama menggunakan botol kaca, tetapi kaca itu mudah pecah dan tidak boleh digunakan sekiranya dibawa semasa perjalanan yang lasak seperti ekspedisi tentera.

Dalam tahun 1810, Peter Durand menemui cara mengawet makanan menggunakan bekas diperbuat daripada besi yang disalut dengan timah. Malangnya, kimpalan plumbum yang digunakan untuk memeteri tin boleh mengakibatkan keracunan plumbum sekiranya plumbum dilarutresapkan ke dalam makanan tersebut. Kematian 128 orang dalam pengembaraan diketuai John Franklin ke kawasan Artik dalam tahun 1845 disebabkan oleh keracunan plumbum dan mengakibatkan anggota ekspedisi menjadi gila. Kelemahan ini diatasi dengan menggunakan bahan pateri yang tidak menggunakan plumbum.

John Hall bersama Peter Durand menyempurnakan proses ini dan berjaya mendapatkan kontrak besar membekalkan makanan ditinkan kepada Tentera British dan Tentera Laut DiRaja British. Kejayaan ini meledakkan permintaan untuk timah. Proses mengetin makanan membolehkan makanan disimpan dengan lebih lama, sehingga bertahun-tahun lamanya, tanpa kemudaratan dalam rasa makanan yang ditinkan. Proses mengetin makanan membolehkan pasukan tentera dibekalkan makanan untuk ekspedisi yang lebih lama dan jauh.

Campur tangan British di Tanah Melayu

Dalam tahun 1812, Thomas Kensett mengasaskan pusat mengetin tiram, daging, buah-buahan dan sayuran di New York. Dia mempatenkan teknik baru yang lebih pantas dan efisien di mana proses mengetin boleh disiapkan dalam masa 6 jam sahaja.
Penduduk Britain di zaman Ratu Victoria kini lebih mewah disebabkan faedah yang diperolehi dengan Revolusi Perindustrian dan juga penghantaran balik kekayaan yang diperolehi oleh penjajah British ke atas tanah jajahannya di Asia, Afrika dan Amerika. Rakyat biasa menuntut untuk mendapatkan bekalan makanan yang murah, dengan berkepelbagaian dan berkualiti tinggi, yang sebelumnya hanya dinikmati oleh pihak aristokrat dan lapisan atasan, dan boleh disimpan untuk jangka masa yang lama. Mereka kini tidak perlu ke pasar setiap hari untuk mendapatkan bahan segar.

Permintaan ini menjana kebangkitan syarikat seperti Nestlé, Heinz dan lain-lain dan membolehkan pembekalan barangan berkualiti dan murah kepada kedai-kedai runcit untuk dinikmati oleh rakyat biasa dari semua lapisan masyarakat. Ledakan ini menyebabkan lonjakan permintaan untuk timah yang digunakan untuk proses mengetin makanan dan lain-lain bahan.

Perlombongan Bijih Di Tanah Melayu

Diorama lombong bijih di Muzium Darul Ridzuan
Perlombongan bijih timah bermula sejak tahun 1820 dengan kedatangan imigran dari negeri China ke Perak dan Selangor. Di Selangor, perlombongan bijih bermula dalam tahun 1824, dikendalikan oleh kaum Hakka.

Disebabkan bijih timah di Selangor, Perak dan Negri Sembilan didapati dalam bentuk bijih lanar (alluvial tin), proses perlombongan adalah lebih mudah dan lebih murah berbanding dengan proses perlombongan di Cornwall dan di lain-lain lokasi di Eropah. Ledakan
perlombongan berlaku dalam tahun 1870-an dengan permintaan yang bertambah dari Eropah dan Amerika Syarikat. Britain kini menjadi pembekalan utama timah di pasaran dunia.
Di Pasaran Logam London (London Metal Exchange), harga tin yang dibawa dari Chile dan Tanah Melayu boleh mendapat penetapan dengan cara yang telus dan teratur. Peniaga tahu harga jualan jongkong timah mereka apabila komoditi itu sampai ke London ataupun pelabuhan lain. Perniagaan timah boleh dibuat tanpa melibatkan spekulasi dan risiko. Peningkatan kemudahan tele-komunikasi membolehkan perkhabaran dibuat dengan cepat menggunakan
kawat telegraf. Permintaan untuk timah melonjak dengan permintaan bertambah daripada industri mengetin makanan. Tetapi, kemajuan ini terbantut disebabkan oleh ketidakstabilan politik di Negeri-Negeri Tanah Melayu, di mana peperangan dan perbalahan di kalangan pelombong dan pembesar tempatan menyebabkan bekalan timah tersekat-sekat. Kutipan cukai oleh pembesar-pembesar Melayu juga yang tidak teratur juga merugikan peniaga dan
pedagang Cina dan British.

Pihak Belanda sendiri mempunyai bekalan timah mereka sendiri daripada jajahan mereka di Hindia Barat Belanda (kini Indonesia), khususnya dari Sumatera. Pihak British risau sekiranya pihak Belanda dapat mempastikan bekalan yang berterusan dalam jumlah yang banyak, pasaran logam timah akan berpindah dari London ke Amsterdam. Pihak British tertekan lagi apabila Empayar Jerman mulai menerokai peluang bertapak di Pahang dan Langkawi.

Kekacauan dan ketidakstabilan keadaan politik serta ancaman kuasa luar bertapak di Tanah Melayu membuatkan British mengambil pegangan baru untuk mewujudkan pergerakan awal ("forward movement") di negeri-negeri Tanah Melayu yang membawa kepada pelaksanaan Perjanjian Pangkor dalam tahun 1874.

4. Campur tangan British di Tanah Melayu

Kegiatan Pelanunan
Pergerakan Melanun berleluasa di sepanjang Selat Melaka menyebabkan British mengambil tindakan ketenteraan menentang lanun kerana menyebabkan kerugian besar dalam perdagangan Negeri-Negeri Selat. Sejarawan L.A. Mills dalam tulisannya tahun 1925 mengenai aktiviti lanun di Tanah Melayu pada akhir kurun ke-19 meletakkan sebab kemunculan lanun kepada keadaan separa feudal yang wujud di negeri-negeri Tanah Melayu ketika itu. Mills
menyatakan bahawa perbuatan lanun sudah berdarah daging dalam resam orang Melayu di kawasan pantai dan mereka akan menjadi lanun apabila keadaan menguntungkan. Millls membincangkan bagaimana pedagang Melayu bertukar-tukar antara menjadi pedagang dan menjadi lanun mengikut keadaan dan peluang yang ada, seperti mana keadaan yang wujud di Eropah semasa Zaman Pertengahan (Middle Ages). ( Di Sungai Rhine, pembesar-pembesar Jerman di Zaman Pertengahan juga bersikap serupa dan dikenali sebagai “robber barons”)

Kegiatan lanun tidak terhad kepada orang-orang Melayu sahaja. Dalam tahun 1871, lanun berbangsa Cina dari Kuala Selangor menyerang sebuah kapal British dan membunuh 34 orang. Gabenor Negeri-Negeri Selat menghantar kapal perang HMS Rinaldo dan HMS Pluto ke Selangor menuntut Raja Mahdi menyerahkan lanun-lanun itu untuk dibawa ke muka pengadilan. Tuntutan British tidak dipenuhi dan British mendaratkan askar di Kuala Selangor untuk memerangi lanun-lanun tersebut. Pertempuran berlaku, di mana seorang askar British terbunuh dan 6 yang lain cedera. Keesokan harinya, HMS Rinaldo membedil kubu Raja Mahdi di Kuala Selangor.

Sir Andrew Clarke diperintahkan oleh Pejabat Kolonial untuk memerangi lanun secara habis-habisan. Beliau melihat keadaan kacau bilau di negeri-negeri Tanah Melayu sebenarnya membuka peluang untuk pembesar-pembesar tempatan bergiat dalam aktiviti lanun. Dengan demikian, adalah penting untuk British mempunyai kawalan lebih baik ke atas negeri-negeri Melayu supaya kegiatan lanun dapat dibanteras.

Di Perak umpamanya, lanun-lanun mengambil perlindungan di dalam hutan bakau dan paya serta di dalam gua-gua di sekitar kawasan Dinding. Perlindungan yang diberikan pembesar tempatan tidak membolehkan pihak British memerangi mereka untuk dibanteras habis-habisan.
Selepas tamatnya Perang Kelang, lanun-lanun di pantai Selangor tetap meneruskan keganasan mereka. Kegiatan pelanunan ini memberi kesempatan kepada Sir Andrew Clarke yang baru menyelesaikan campur tangan di Perak untuk bertindak di Selangor. Pada 16 November 1873, sekumpulan lanun yang disokong oleh putera-putera Sultan Abdul Samad telah menyerang sebuah kapal dagangan Melaka berhampiran dengan Sungai Jugra. 8 orang daripada 9 orang anak kapal yang merupakan rakyat British dibunuh. British berjaya menangkap 9 orang Melayu Selangor yang disyaki terlibat dalam kejadian itu. Sir Andrew Clarke memaksa Sultan Abdul Samad mengadakan perbicaraan ke atas lanun-lanun berkenaan pada bulan Februari 1874. Lanun-lanun itu didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati.

Ketidakstabilan Keadaan Politik Negeri Perak
Perang Larut Di Perak

Hasrat British menguasai bekalan timah dari negeri-negeri Melayu diganggu oleh perbalahan dan kekacauan melibatkan pembesar-pembesar negeri dan juga serangan lanun di Selat Melaka. Sebelum tahun 1861, pembekalan timah daripada daerah Larut berjalan baik. Walaupun Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim mengenakan cukai ke atas hasil timah, pulangan lumayan yang diperolehi oleh British menidakkan sedikit kesusahan disebabkan oleh kenaan cukai tersebut.

Dalam tahun 1861, bekalan timah daripada Larut terganggu disebabkan oleh tercetusnya Perang Larut yang pertama,yang berpunca daripada pergaduhan mengenai laluan air ke kawasan perlombongan. Sumber air penting untuk proses perlombongan bijih timah kerana kaedah perlombongan palong digunakan. Kerana tidak puas hati, kumpulan Ghee Hin di Klian Baru diserang oleh kumpulan Hai San di Klian Pauh.


5. Campur tangan British di Tanah Melayu

Gangguan bekalan timah menyebabkan pedagang Cina di Pulau Pinang, yang membuat pelaburan besar di dalam industri perlombongan bijih membuat aduan kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat supaya mengambil tindakan memulihkan keadaan. Disebabkan tekanan daripada peniaga-peniaga di Pulau Pinang, Gabenor Negeri-Negeri Selat Kolonel Cavenagh masuk campur dan akhirnya memaksa Ngah Ibrahim bertindak menenangkan keadaan. Ngah Ibrahim, bagi pihak Sultan Perak, dipaksa membayar $17,447 sebagai ganti rugi kepada kumpulan Ghee Hin.
Keadaan tegang bagaikan retak menunggu belah. Masalah yang paling kecil akan mencetuskan perbalahan besar.

Selang 4 tahun kemudian, Perang Larut kedua meletus berpunca daripada pergaduhan semasa permainan judi melibatkan kumpulan ahli-ahli kongsi gelap. Kumpulan Hai San menawan 14 orang ahli Kumpulan Ghee Hin sebagai tebusan, dan akhirnya membunuh 13 orang daripada mereka. Tebusan terakhir berjaya melepaskan diri dan memberitahu kejadian kepada kumpulannya. Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dan menyerang perkampungan Hai San, dan membakar bangunan di dalam kampung itu dan membunuh 40 orang penduduk.Sekali lagi, bekalan bijih terganggu. Perbalahan merebak sehingga ke Seberang Perai dan Pulau Pinang, dan
kumpulan kongsi gelap selain Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San turut terlibat.

Siasatan yang dijalankan pentadbir British mendapati kedua-dua Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San bersalah kerana mengganggu keamanan Pulau Pinang dan masing-masing dikenakan denda $5,000 dan beberapa pemimpin mereka di buang negeri. Buat seketika, bekalan timah diteruskan. Tetapi pihak British mulai risau mengenai perbalahan-perbalahan
yang mengganggu bekalan timah mereka.

Kerisauan British membuat Ngah Ibrahim mengambil tindakan proaktif dengan mengambil Kapten Tristam Speedy sebagai Setiausaha (Pentadbir) di Larut, khususnya untuk memodenkan sistem pentadbiran di Larut dan meningkatkan keselamatan dan keamanan. Untuk tujuan ini, Kapten Tristam Speedy membawa 110 orang askar Sepoi Sikh dari Punjab ke Perak untuk menggantikan 40 orang Polis Melayu di bawah pengajian Ngah Ibrahim. Tetapi, usaha Ngah Ibrahim menjadi sia-sia apabila Perang Larut Ketiga meletus dalam tahun 1872, kali ini berpunca daripada tertangkapnya seorang ketua kumpulan Ghee Sin di pangkuan isteri anak saudara pemimpin Hai San.

Perang Larut Ketiga tahun 1872 memberi kesan buruk kerana melibatkan pembesar Melayu negeri Perak yang berpihak kepada kumpulan yang berbalah. Ngah Ibrahim menyokong kumpulan Hai San sementara Raja Abdullah menyokong kumpulan Ghee Hin. Pada satu ketika, kumpulan Hai San terpaksa berundur daripada Klian Pauh, tetapi dapat menduduki semula Klian Pauh setelah mendapatkan bantuan Ngah Ibrahim.

Perebutan Kuasa Di Kalangan Pembesar Melayu

Kemangkatan Sultan Ali dalam tahun 1871 diikuti dengan perebutan kuasa di kalangan pembesar Melayu, iaitu Raja Ismail, Raja Yusof dan Raja Abdullah. Raja Abdullah tidak menghadiri majlis pengkebumian Al-marhum Sultan Ali dan menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Perak. Akibatnya, segolongan besar pembesar negri bersama-sama Menteri Larut menabalkan Raja Ismail sebagai Sultan. Pembesar negeri di selatan Perak memberikan
sokongan kepada Raja Ismail dan menabalkannya sebagai Sultan.

Pertabalan ini ditentang oleh Raja Abdullah, tetapi Raja Abdullah tidak mempunyai tapak untuk berkuasa. Untuk mendapatkan sokongan dan pengaruh, Raja Abdullah memberikan sokongan kepada kumpulan Ghee Hin dengan harapan sekiranya mereka menang dalam perbalahan mereka dengan kumpulan Hai San, kedudukan Ngah Ibrahim akan terhakis dan kedudukan Raja Abdullah sendiri akan teguh, membolehkan ia mencabar pertabalan Sultan Ismail sebagai Sultan Perak.
Raja Abdullah juga cuba mendapatkan sokongan daripada pedagang British bernama W.H.M. Read yang menjadi rakan perniagaannya. Kepada Read, Raja Abdullah menyatakan kesediaannya untuk menerima penasihat British sekiranya beliau ditabalkan sebagai Sultan Perak. Tetapi gabenor Negeri-Negeri Selat tidak bertindak kerana hendak memberikan peluang kepada Ngah Ibrahim untuk menyelesaikan masalah Perang Larut tanpa dibantu pihak British.

(Sir Harry Ord bersahabat dengan Ngah Ibrahim). Akhirnya, askar Sepoi di bawah pimpinan Kapten Tristam Speedy berjaya membantu Ngah Ibrahim mengembalikan penguasaan pihak Hai San ke atas Klian Pauh. Dengan kekalahan itu, kumpulan Ghee Hin tidak berupaya membantu Raja Abdullah dalam usahanya menabalkan diri sebagai Sultan.


6. Campur tangan British di Tanah Melayu
Perang Larut Keempat

Perang Larut Keempat meletus dalam tahun 1873, kurang setahun selepas berakhirnya Perang Larut Ketiga. Selepas Kumpulan Hai San dengan bantuan Ngah Ibrahim menguasai semula kawasan lombong di Klian Pauh, Kumpulan Ghee Hin yang disokong oeh Raja Abdullah menyerang balas dengan pejuang dan senjata yang dibawa dari Singapura dan China.
Harta benda milik Ngah Ibrahim juga turut dimusnahkan dan penduduk Melayu dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan. Kekacauan merebak ke daerah Krian, Pulau Pangkor dan Dinding. Pembesar Melayu yang sebelum itu menyebelahi kumpulan Cina yang berbalah terperanjat melihat huru hara akibat perbalahan antara dua Kumpulan Cina tersebut. Kemusnahan yang dibawa oleh 40,000 orang Cina yang berbalah membawa padah besar kepada
negeri Perak.

Peniaga di Pulau Pinang sekali lagi melihat pelaburan mereka hancur lebur akibat perbalahan dan sekali lagi meminta Gabenor Negeri-Negeri Selat mengambil tindakan memulihkan keamanan di Perak agar perniagaan mereka tidak kerugian Pada 30 Disember 1873, Raja Abdullah mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta
bantuan British untuk menghantar "seorang yang cukup berwibawa untuk membolehkan kewujudan satu sistemkerajaan yang baik di Negeri Perak". William Pickering dihantar ke Larut untuk merundingkan keamanan dengan kaum Cina yang berbalah dan untuk menerima penyelesaian dan timbang tara British. Sementara itu Frank Swettenham (yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menulis Jawi) dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor.


Perjanjian Pangkor
Surat daripada Raja Abdullah meminta bantuan British untuk membolehkan dia dilantik menjadi Sultan Perak digunakan sebagai pemunca oleh Sir Andrew Clarke untuk mencampuri hal ehwal negeri-negeri Melayu. Dia menghantar William Pickering, seorang pegawai tinggi yang dilantik menjadi Pelindung orang-orang China (Protector) di Singapura untuk memujuk pihak-pihak yang bertelagah dalam Perang Larut untuk menerima timbang tara British. Frank Swettenham pula dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu untuk hadir di meja
Perundingan untuk mencari penyelesaian perubatan kuasa di Perak.

Perjanjian Pangkor ditandatangan pada 20 Januari 1874 di atas sebuah kapal berkuasa wap yang dahulunya HMS Pluto tetapi kini dikenali sebagai Kapal Kolonial Pluto (Colonial Steamer Pluto). Pada hari berkenaan, pihak British memeterai dua perjanjian
a) Perjanjian Pangkor di antara pihak British dengan pembesar-pembesar Melayu b) Persetujuan Cina (Chinese Engagement) di antara pihak British dan 26 orang pemimpin kumpulan Ghee Hin, Kumpulan Hai San dan lain-lain kumpulan Cina yang terlibat dalam Perang Larut.


Persetujuan Cina
• 26 orang pemimpin-pemimpin Cina yang mewakili kumpulan Ghee Hin, Kumpulan Hai San dan
kumpulan-kumpulan lain yang terlibat dengan Perang Larut bersetuju menerima timbang tara British.

• Kumpulan terlibat juga bersetuju untuk melucutkan senjata yang sebelumnya dipasang di kapal-kapal mereka, memusnahkan kubu-kubu pertahanan mereka, bertukar-tukar tawanan perang dan bersetuju untuk tidak melanggar persetujuan berdamai.

• Kumpulan-kumpulan terlibat bersetuju menandatangani satu surat persetujuan untuk berhenti berbalah.

•Mana-mana pihak yang melanggar persetujuan berdamai akan dikenakan denda $50,000.
Persetujuan Cina ini membolehkan British menubuhkan satu jawatankuasa timbang tara untuk menyelesaikan masalah kawasan perlombongan yang bertindih di antara kumpulan Ghee Hin dan Hai San. Kedamaian yang dicapai membolehkan kaum Cina kembali kepada aktiviti perlombongan dengan tujuan mengaut keuntungan. Klian Pauh diserahkan kepada kumpulan Hai San, dan kemudiannya ditukarkan nama menjadi Taiping. Kumpulan Ghee Hin mendapat kawasan Klian baru dan kemudiannya dikenali sebagai Kamunting.

Persetujuan ini berjaya menamatkan perbalahan yang membawa kepada gangguan bekalan timah. Walaupun aktiviti (dan persaingan) kongsi gelap berterusan, mereka tidak lagi bertelagah secara terbuka.

Perjanjian Pangkor
Perjanjian Pangkor ditandatangan oleh Pihak British dengan Sultan Abdullah, Sultan Perak.
• Perjanjian Larut memberikan pengiktirafan kepada Raja Abdullah sebagai Sultan Perak, bagi menggantikan Sultan Ismail.
• Sultan Ismail yang dilucutkan gelaran Sultan diberikan gelaran Sultan Muda dan diberikan pencen bulanan $1,000 dan diberikan satu kawasan jajahan baginya.
• Ngah Ibrahim kekal menjadi Orang Kaya Menteri Paduka Tuan dan berkuasa ke atas Jajahan Larut, tetapi kuasanya disekat dan tidak bebas seperti sebelumnya. Pihak British akan melantik Penolong Residen untuk membantu beliau mentadbir jajahan Larut.
• Pihak British akan melantik seorang Residen untuk menasihati Sultan dalam semua aspek pentadbiran negeri kecuali perihal agama Islam dan adat resam Melayu. Bayaran gaji Residen akan dibiayai oleh Sultan Perak, dan nasihat Residen mesti diperolehi dan diikuti oleh Sultan dalam semua perkara pentadbiran negeri kecuali perihal agama Islam dan adat resam Melayu. Sultan akan menyediakan sebuah tempat tinggal kepada Residen.
• Kutipan Cukai tidak lagi boleh dibuat oleh pembesar-pembesar Melayu tempatan. Residen British akan bertanggungjawab untuk mengutip dan mengawal semua kutipan cukai dan perbelanjaan wang cukai - that the collection and control of all resources and the general administration of the state should be regulated under the advice of the Resident. (W. G. Maxwell and W. S. Gibson, Treaties and Engagement Affecting the Malay States and Borneo (London, 1924)
• Oleh kerana pembesar-pembesar Melayu tidak lagi boleh membuat kutipan cukai, mereka akan diberikan pencen bulanan oleh kerajaan negeri.
• Wilayah Dinding diserahkan kepada pentadbiran oleh pihak British dan menjadi wilayah takluk Negeri-negeri Selat. Dinding diambil alih oleh pihak British kerana mahu menyelesaikan masalah lanun yang mengambil perlindungan di dalam hutan bakau dan gua-gua di sekitar kawasan Dinding.


Kesan Perjanjian Pangkor
Pembesar-pembesar Melayu sebenarnya terperangkap dengan Perjanjian Pangkor. Mereka tidak dapat melihat kesan yang akan mengikuti terma yang dituntut oleh pihak British ke atas Sultan Perak (dan ke atas pembesar-pembesar Melayu). Sultan Perak dan pembesar-pembesar Melayu tidak memahami bahawa perjanjian ini akan meluputkan kuasa Sultan dan pembesar-pembesar Melayu. Sultan Abdullah salah faham mengenai terma utama Perjanjian Pangkor mengenai perlantikan seorang Residen. Sultan Abdullah memikirkan bahawa Residen British hanya berkuasa memberikan nasihat kepada Sultan dan bahawa boleh Sultan mengetepikan nasihat yang diberikan oleh Residen. Punca salah faham adalah dalam penterjemahan Artikel VI Perjanjian di antara versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Article VI (Bahasa Inggeris)
That the Sultan receive and provide a suitable residence for a British Officer to be called Resident, who shall be accredited to his Court and whose advice must be asked and acted upon on all questions other than those touching Malay Religion and Custom.
Artikel VI (mengikut fahaman Sultan Abdullah)
Sultan akan menerima dan menyediakan satu tempat tinggal yang bersesuaian untuk seorang Pegawai … yang diberikan gelaran Residen British. Sultan Perak diperlukan merujuk kepada beliau di dalam semua perkara dan pentadbiran negeri Perak dan dia (Residen British) tidak boleh masuk campur dalam hal-hal berkaitan agama Islam dan adat Melayu.


8. Campur tangan British di Tanah Melayu

Walaupun pada asalnya Sultan Abdullah berfahaman bahawa Residen British hanya berkuasa memberikan nasihat sahaja kepada Sultan, tanggapan itu nyata salah apabila Residen British menjadi pentadbir sebentar negeri Perak.

(Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and the Struggle for Independence in Malaya 1945-1957, SIRD, 1984)

Sultan Ismail tidak menerima syarat-syarat Perjanjian Pangkor, khususnya perlantikan beliau sebagai Sultan Muda dengan berikan pencen dan kawasan kecil sebagai jajahan warisan keluarganya. Perjanjian ini juga mengikiskan kuasa autonomi yang diberikan kepada Ngah Ibrahim sebagai Menteri Larut dengan perlantikan Kapten Tristam Speedy sebagai Penolong Residen khusus untuk Larut.

Sir Andrew Clarke dilihat sebagai melebihi mandat kuasa yang diberikan kepadanya. Sir Peter Benson Maxwell mengkritik tindakan British dalam tulisannya Our Malayan Conquest. Sir Andrew mempertahankan tindakannya dengan alasan Ia perlu dilakukan untuk menjamin keamanan di Tanah Melayu dan menjaga kepentingan British. Sir Andrew juga mendapat sokongan padu daripada kerajaan British di London dan juga daripada kumpulan pedagang-pedagang di Negeri-Negeri Selat.

Kepentingan Perjanjian Pangkor
Perjanjian Pangkor membuka jalan untuk campur tangan British di Tanah Melayu dengan menggunakan Sistem Residen bagi membolehkan pemerintahan British. Sistem Residen memberikan gambaran bahawa pembesar-pembesar Melayu masih memegang kuasa pemerintahan, pada hal kuasa pemerintahan sebenarnya berpindah kepada Residen.

Sistem Residen sebenarnya adalah sistem pemerintahan secara tidak langsung yang membolehkan British bertapak di Negeri-Negeri Tanah Melayu. Walaupun Sultan masih menjadi ketua negeri, dia tidak lagi menjadi ketua kerajaan. Kini kuasanya dihadkan kepada perkara-perkara berkaitan agama dan adat resam Melayu sahaja. Sultan wajib menerima nasihat di dalam semua perkara pentadbiran dan pengurusan kerajaan, dan dengan itu nasihat yang diberikan sebenarnya adalah arahan yang perlu dipatuhi oleh Sultan berkenaan.
Sistem Residen yang dilaksanakan adalah halus tetapi berkesan. Ia digunakan sebagai model untuk membolehkan campur tangan British di negeri-negeri Melayu terutamanya di Selangor, Negri Sembilan dan Pahang.


Campur Tangan British Di Negeri Sembilan

-Perlantikan Tengku Antah sebagai Yam Tuan Besar oleh penduduk Terachi,Gunung Pasir Hulu Muar dan Jempol tidak di iktiraf oleh Datuk Kelana. -Tenku Antah tidak diiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong.

-Tenku Antah juga tidak diiktiraf residen Inggeris di Sungai Ujong. -1875,Datuk Kelana dibantu Inggeris menuntut Terachi,Tenku Antah ditewaskan. -1876,Tenku Antah diiktiraf Yam Tuan Besar Seri Menanti.


Sebab-Sebab Campur Tangan British

British mencampuri hal ehwal negeri-negeri Melayu di atas dorongan ekonomi. Pihak British perlukan keamanan dan kemakmuran di Tanah Melayu khususnya dan di Selat Melaka amnya, untuk mempastikan perdagangan mereka berkembang dengan pantas. Selat Melaka mula menjadi laluan penting dengan peningkatan jumlah dagangan antara negeri China dengan Eropah dan negeri China dengan India.

Ancaman Lanun akan menyebabkan kapal memesongkan laluan ke Selat Sunda, dan akan menaikkan Batavia (Jakarta) sebagai pelabuhan dan akan menjatuhkan kepentingan Pulau Pinang dan Singapura. Perbalahan dan peperangan di kawasan-kawasan lombong sekiranya tidak dikawal akan menjejaskan bekalan timah dan membolehkan Belanda di Sumatera dan Perancis di Indo-China untuk memberikan bekalan alternatif. Nilai perdagangan British ketika itu di Tanah Melayu bernilai lebih £3 juta setahun, dan kebanyakannya dijana oleh modal yang dikeluarkan oleh pelabur-pelabur British.

Campur tangan dan seterusnya penjajahan British ke atas Tanah Melayu akan membuka pasaran baru kepada barangan keluaran British yang akan membawa kepada kemewahan lebih untuk pengeluar-pengeluar British.


9. Campur tangan British di Tanah Melayu

Dengan kehilangan monopoli perdagangan dengan China, pedagang-pedagang di Negeri-Negeri Selat melihat negeri-negeri Tanah Melayu sebagai peluang pelaburan yang baik dalam industri perlombongan dan pertanian sekiranya keamanan dapat dijamin. Ini hanya dapat dicapai dengan campur tangan British di Tanah Melayu.

Justifikasi Campur Tangan British

Pihak British menekankan bahawa campur tangan mereka di negeri-negeri Tanah Melayu membawa kebaikan kepada rakyat Tanah Melayu dengan membawa keamanan dan sistem pentadbiran yang baik. Menjelang tahun 1883, selepas campur tangan British, negeri-negeri Tanah Melayu menjadi pengeluar terbesar bijih timah di dunia. Menjelang tahun 1900, Tanah Melayu mengeluarkan 55% daripada pengeluaran timah dunia.

Kejayaan ini memberikan justifikasi kepada campur tangan British di negeri-negeri Tanah Melayu.Campur tangan British juga membawa pembangunan kepada Tanah Melayu dengan pesat. Perhubungan kereta api dibina dalam tahun 1885 untuk menghubungkan Port Weld (sekarang ini Kuala Sepetang) dengan Taiping, walaupun sebab utamanya adalah untuk menyenangkan pengeksportan timah dan bukannya untuk manfaat rakyat tempatan.

Perhubungan jalan raya utama di Tanah Melayu dibina untuk menghubungkan bandar-bandar perlombongan seperti Seremban, Kuala Lumpur, Ipoh dan Taiping. Ini jelas menunjukkan pembangunan yang dibuat oleh pemerintah British sebenarnya adalah untuk memudahkan eksport bijih timah ke Britain, untuk menguatkan kedudukan Britain di mata dunia. Kerajaan colonial British juga membuka sekolah-sekolah untuk melatih anak-anak tempatan bagi pengisian jawatan-jawatan perkeranian di dalam sektor awam dan swasta. Sekolah-sekolah seperti Sekolah King Edward VII Taiping dibuka untuk memberikan pendidikan untuk membolehkan rakyat tempatan memegang jawatan-jawatan rendah di dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta, tetapi tidak mementingkan pelajaran di peringkat tertinggi.

Maktab Melayu Kuala Kangsar dibuka untuk membolehkan anak-anak bangsawan Melayu mendapat latihan untuk memegang jawatan-jawatan peringkat pertengahan dalam perkhidmatan kerajaan kolonial British.

Article Sources and Contributors 10
Article Sources and Contributors
Campur tangan British di Tanah Melayu Source: http://ms.wikipedia.org/w/index.php?oldid=1643013 Contributors: Abangmanuk, Arteyu, Aurora, Aviator, Edmundwoods, Jpbarbier,

Khairyjamaluddin, Polar, Putera Luqman Tunku Andre, Yosri, Zamwan, 17 anonymous edits
Image Sources, Licenses and Contributors
Imej:sir andrew clarke.jpg Source: http://ms.wikipedia.org/w/index.php?title=Fail:Sir_andrew_clarke.jpg License: Public Domain Contributors: G.R. Lambert
Imej:dio lombong.jpg Source: http://ms.wikipedia.org/w/index.php?title=Fail:Dio_lombong.jpg License: unknown Contributors: Abangmanuk, Aurora, Zscout370, 1 anonymous edits
Lesen
Creative Commons Attribution-Share Alike 3.0 Unported
http:/ / creativecommons. org/ licenses/ by-sa/ 3. 0/





2. British telah mengubah dasar tidak campur tangan kepada campur tangan secara langsung terhadap negeri-negeri Melayu pada akhir abad ke-19 bagi menjaga kepentingan mereka di Tanah Melayu. Bincangkan

Pengenalan

1. Pada akhir abad ke -19, British berusaha untuk campurtangan secara langsung di NNM dengan menggunakan pelbagai alasan antaranya perebutan takhta dan pergaduhan antara kongsi gelap Cina.
2. Setelah berjaya ,British memperkenalkan pelbagai dasar bertujuan mengukuhkan kedudukan mereka contohnya pengenalan Sistem Residen

Isi-isi


1. Keadaan huru-hara yang disebabkan oleh Perang Saudara di negeri-negeri Melayu seperti di Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan . Perkembangan tersebut menyebabkan pemodal Eropah mendesak kerajaan British supaya campurtangan untuk memulihkan keamanan. Hal ini akan membantu kegiatan perdagangan berjalan dengan lancar.Malahan masalah di negeri-negeri Melayu yang lain menyebabkan Kerajaan British di London mengarahkan Andrew Clarke terlibat secara langsung bagi menyelesaikan konflik raja-raja Melayu.

2. Di samping itu masalah kongsi gelap Cina antara puak Hai San dan Ghee Hin turut menyumbang ke arah perubahan dasar campur tangan British di Tanah Melayu. Kedua-dua puak seringkali terlibat dalam pergaduhan yang mengakibatkan kegiatan perlombongan bijih timah dan keselamatan terjejas teruk malahan pergaduhan kongsi gelap menyebabkan kemusnahan banyak peralatan di lombong bijih timah.

3. British ingin menguasai sumber mineral yang bernilai untuk pasaran antarabangsa tyang terdapat di Tanah Melayu. Selepas meletusnya Revolusi Perindustrian di Eropah, keperluan terhadap bahan- bahan mentah begitu tinggi bagi menampung kadar permintaan yang semakin meningkat . Britain amat memerlukan bahan mentah khasnya bijih timah dan getah. Olehitu British di Tanah melayu bertindak menguasai sumber-sumber bahan mentah tersebut.

4. Campurtangan British secara langsung di Tanah melayu juga didorong oleh perubahan dalam politik antarabangsa iaitu persaingan antara negara-negara barat untuk meluaskan wilayahnya khasnya di Tanah Melayu. Oleh itu, British bimbang dengan usaha-usaha pihak Eropah yang lain untuk menguasai Tanah Melayu. Pada ketika itu, kuasa-kuasa Eropah yang lain sedang giat mencari kedudukan di Asia Tenggara.

5. Perubahan politik di Britain mempengaruhi dasar mereka berkaitan dengan tanah jajahan. 1874 Parti Konservatif menguasai parlimen England menyebabkan berlaku perubahan dasar luarnya. Andrew Clarke telah didesak supaya menjalankan dasar yang lebih agresif terhadap Tanah Melayu .

6. Di samping itu pihak British membangunkan pelbagai infrastruktur pengangkutan untuk memudahkan perhubungan mereka. Perdagangan anatara timur dengan barat semakin cepat dan singkat. Contohnya pembukaan Terusan Suez yang mampu memendekkan jarak perjalanan. Barangan dagangan dari Tanah Melayu akan mudah diangkut ke Negara Barat.


Kesimpulan


1. Campurtangan British secara langsung di negeri-negeri Melayu telah mengakibatkan sistem politik dan ekonomi tempatan mengalami perubahan yang ketara.Tujuan utama British campurtangan di Tanah Melayu ialah untuk menguasai sumber ekonomi .

2. Walaubagaimanapun campurtangan Barat menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk tempatan terutama golongan pemerintah yang kehilangan hak dan kepentingan di Tanah Melayu.


3.Jelaskan situasi politik di negeri Pahang dan Perak yang menyebabkan penentangan masyarakat tempatan terhadap kuasa British pada abad ke-19.

Pengenalan:


1. Oktober 1888, J.P Rodger dilantik sebagai Residen Inggeris pertama di Pahang.. J .P Rodger telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan di mana telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan penduduk .

2. Hal ini telah membangkitkan semangat menentang Inggeris yang dipimpin oleh Dato Bahaman dan dibantu oleh Tok Gajah serta anaknya Mat Kilau. Di Perak pula, penguasaan British bermula dengan Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 dan perlantikan J.W.W Birch sebagai residen.

3. Birch telah melaksanakan pembaharuan secara drastik dan mengikut corak pentadbiran ala barat yang tidak mendapat kerjasama dan sambutan daripada kerajaan Perak dan para pembesar sehingga menimbulkan penentangan terhadap pemerintahannya.

Isi-isi:

Pahang:


1. British telah menguasai ekonomi Pahang terutama sektor perlombongan yang menjejaskan kepentingan orang Melayu.

2. Sultan Pahang kehilangan pengaruh dan kuasa dalam pemerintahan dengan penubuhan Majlis Mesyuarat Negeri di mana segala keputusan penting dibuat oleh Residen. Contohnya bayaran gantirugi kepada pembesar-pembesar kerana kehilangan hak mengutip cukai.

3. Pengenalan undang-undang berkaitan dengan tanah, sistem kerah, dan penghapusan sistem perhambaan bercanggah dengan sistem tradisional Pahang.

4. Rakyat tidak puas hati dengan kemasukan pelombong-pelombong Eropah dan Cina yang sombong dan bongkak serta tidak menghormati adat istiadat orang Melayu. Contohnya larangan dalam pemakaian keris.

5. Pembesar-pembesar kehilangan hak sebagai pemungut cukai dan pentadbir keadilan yang menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan dan jawatan yang diwarisi dengan perlantikan pemungut cukai dan majistret Inggeris.

6. Pelbagai jenis cukai diperkenalkan contohnya cukai tanah seperti tanah kampong, tanah paya, tanah dusun dan tanah nipah dengan kadar 40 sen seeker.
7. Sistem lesen dan permit telah diperkenalkan oleh J.P Rodger – rakyat terpaksa mendapatkan lesen untuk memungut hasil hutan dan mencari atap nipah.

Perak:


1. Perjanjian Pangkor tidak dapat meneyelesaikan perebutan takhta kerajaan negeri Perak – Sultan Abdullah yang memerintah telah menggunakan kuasanya secara berleluasa. Kedatangan Birch menyebabkan Sultan Abdullah tidak puas hati. Kerana terpaksa menerima nasihat daripada Kapten Speedy.

2. Birch tidak tahu adat resam orang Melayu, beliau juga tidak tahu berbahasa Melayu. Beliau tidak berusaha bergaul dengan pembesar untuk mendapatkan kerjasama. Sebalikmya beliau menghina Sultan Abdullah. Tindakan Birch membakar rumah Raja Ngah dan Tengku Panglima Besar menjadikan rakyat Perak dan pembesarnya semakin marah.

3. Birch juga bersikap degil dan tidak diplomatik serta tidak pernah mahu berbincang dengan sultan atau pembesar.

4. Birch menambahkan kebencian rakyat dengan menghapuskan amalan perhambaan hutang dan beliau memberikan perlindungan kepada hamba berhutang yang melarikan diri daripada tuan-tuan mereka. Tindakan Birch telah melanggar syarat Perjanjian Pangkor iaitu tidak mencampuri adat resam masyarakat Melayu.

5. Tindakan Birch telah dianggap oleh pembesar dan sultan sebagai mencabar kedaulatan tradisional mereka kerana hak memungut cukai menjadi sumber pendapatan mereka turun temurun.

6. Birch juga bertindak membatalkan pajakan cukai kastam Sultan Abdullah oleh seorang saudagar Cina bernama Lee Cheng Tee - pembatalan ini menyebabkan kerugian di pihak sultan. Tindakan Birch membenarkan Lee membawa minuman keras dan candu ke Perak menambahkan lagi kemarahan Sultan Abdullah.

7. Gabenor NNS Sir William Jervois telah melakukan kesilapan besar dengan memaksa Sultan menyerahkan pentadbiran negeri kepada British kerana ini menambahkan kebencian sultan, pembesar dan rakyat Perak terhadap British.


Kesimpulan:


1. Berlaku beberapa siri peperangan antara rakyat Pahang dengan British kerana timbul perasaan tidak puas hati terhadap perlaksanaan system residen. Bagaimanapun British berjaya mengawal pemberontakan yang berlaku kerana kelemahan susunan pertahanan di pihak rakyat Pahang sendiri.

2. Di Perak pula, kemuncak daripada perasaan benci rakyat terhadap British membawa kepada komplot untuk membunuh Birch yang telah dilaksanakan pada 2 November 1875. Bagaimanapun kejayaan itu tidak kekal lama kerana British telah menghantar sepasukan tentera ke Pasir Salak untuk menamatkan penentangan rakyat Perak.