Saturday, November 21, 2009

PERCUBAAN PERAK 2009

PERCUBAAN STPM 2009940/2






PEPERIKSAAN PERCUBAAN SELARAS
SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA
2009





SKEMA JAWAPAN

SEJARAH

Kertas 2




Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur (1800 – 1963)





Disediakan oleh:
Jawatankuasa Kurikulum Sejarah STPM
JPN Perak
Soalan 1

Huraikan peranan raja di Negeri-Negeri Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874.

Pendahuluan (3/2 markah)

Sebelum campurtangan British di Perak pada tahun 1874, Negeri-negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja Melayu. Sultan dan raja menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing. Selepas Islam bertapak gelaran raja bertukar menjadi sultan dan dianggap sebagai ‘Amirul Mukminin’ atau pemimpin bagi orang mukmin. Kerajaan-kerajaan yang menerima warisan kesultanan Melaka seperti Johor, Pahang, Perak dan Kedah mengekalkan gelaran sultan sehingga abad ke-19. Begitu juga Kelantan dan Terengganu. Negeri Sembilan menggunakan gelaran Yamtuan Besar manakala Perlis yang mengekalkan gelaran Raja. Namun demikian, semua Raja-raja Melayu ini mempunyai peranan luas dalam politik, ekonomi dan sosial sehingga campur tangan Inggeris pada tahun 1874.

Isi – (20 markah)

i. Politik

a. Ketua kerajaan

Ø Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah.

b. Melantik pembesar

Ø Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri, iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.

Ø Sehingga tahun 1874 di Perak, jawatan Bendahara dipegang oleh keluarga diraja. Jawatan Temenggong dijawat oleh pembesar daerah Kota Lama, Kuala Kangsar. Tiada ketetapan dibuat mengenai jawatan Orang Kaya Besar dan Jawatan Menteri dipegang pembesar Larut. Pembesar Berlapan yang dilantik sultan ialah Maharaja Lela iaitu pembesar Pasir Salak, Laksmana pembesar Durian Sebatang, Sri Andika Raja, pembesar Ulu Perak, Shahbandar, pembesar Daerah Bandar di Hilir Perak, Panglima Kinta iaitu pembesar daerah Kinta, Panglima Bukit Gantang, Sri Agar diraja ,pembesar Kampong Gajah dan Imam Paduka Tuan, iaitu satu jawatan agama Islam. Sementara di Selangor pula beberapa jawatan pembesar yang dilantik oleh sultan ialah Penggawa Permatang, Penggawa Tua, Penghulu Aru dan Orang Kaya Kechil.

Ø Sultan juga melantik pembesar-pembesar daerah menerusi sepucuk surat dan hadiah sebilah pedang sebagai lambang jawatannya. Di dalam surat tauliah itu dinyatakan nama daerah yang dikurniakan tetapi tidak ditentukan butir-butir sempadannya. Biasanya pembesar dipilih secara turun temurun dalam kalangan keluarga pembesar berkenaan. Sultan hanya akan campur tangan memilih pembesar yang baru dari keturunan lain sekiranya keturunan pembesar tadi ketiadaan waris.

c. Sultan menentukan hubungan diplomatik

Ø Sultan lebih aktif dalam menjalin hubungan hal ehwal luar berbanding bertindak sebagai ketua perang. Perjanjian dengan kuasa-kuasa asing tidak sah jika tidak ditandatangani oleh sultan. Selain itu, ia juga memerlukan tanda tangan 12 orang pembesar. Kebimbangan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu menjadikan hubungan sultan dengan para pembesar kian rapat. Kehadiran British di Perak pada tahun 1875 membawa kepada perjumpaan-perjumpaan antara sultan dengan pada pembesar.

Ø Namun demikian, ada juga pembesar yang menentang sultan secara halus tidak hadir dalam pertemuan seumpama ini. Misalnya pada tahun 1875 pentadbir British telah bersusah payah untuk mendapatkan tanda tangan pembesar-pembesar Perak yang tidak hadir di Pangkor dalam tahun 1874 untuk menandatangani persetiaan Melayu-Inggeris itu.

d. Sultan berperanan sebagai ketua pertahanan

Ø Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera bagi mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain. Baginda bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada ancaman luar. Pada tahun 1830 an-1870an di Negeri-negeri Melayu tidak terdapat peperangan luar yang serius atau ancaman perang. Kedatangan British juga tidak menggunakan tentera yang besar, hanya menggunakan tentera Negeri-Negeri Selat sahaja.

Ø Oleh yang demikian, peranan sultan sebagai ketua tentera tidak menonjol pada masa ini. Malah perang saudara yang berlaku antara tahun 1865-1875 banyak melibatkan perang saudara antara pembesar-pembesar. Hanya di Pahang berlaku pemberontakan seorang pembesar tetapi sultan telah mengarahkan pembesar lain untuk menamatkan pemberontakan tersebut.

ii. Ekonomi

Ø Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Contohnya, Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) daerah Kelang daripada Raja Mahadi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.

Ø Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contohnya di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

iii. Sosial

a) Lambang dan memelihara perpaduan negeri.

Ø Di Negeri-negeri Melayu pada abad ke-19 terdapat beberapa faktor yang membawa kepada perselisihan dan perpecahan. Di dalam sesebuah negeri, selain Negeri Sembilan terdapat pelbagai kebudayaan yang diamalkan oleh rakyatnya. Pembesar-pembesar daerah merupakan pusat-pusat kuasa tempatan. Tentangan sering berlaku dalam kalangan mereka dan mengganggu pentadbiran pusat. Malah mereka sering juga menentang sultan dan ada kalanya menentang pelaksanaan perintah raja di daerah mereka.

Ø Namun demikian, untuk menjaga kepentingan perdagangan, pertahanan negeri dan ketenteraman dalam satu kawasan yang lebih luas dari sebuah daerah memaksa mereka tunduk kepada sultan . Mereka tidak bersedia untuk memusnahkan kesultanan itu sendiri, walaupun pertentangan dan perebutan takhta sering berlaku dalam kalangan pembesar. Mereka melihat tidak ada satu sistem lain sebaik sistem beraja yang diamalkan.

Ø Kedudukan sultan sebagai lambang perpaduan diperkukuhkan dengan baginda diberi kekeramatan dan kuasa-kuasa sakti. Antaranya, baginda dikatakan berdarah putih, menggunakan lambang-lambang kebesaran seperti pakaian dan peralatan berwarna kuning, memiliki alat-alat muzik sendiri seperti nobat, nafiri, seruling dan terumpet. Alatan lain seperti kayu gamit, puan naga, taru, kemala, surat chiri, cop halilintar, ubor-ubor dan lain-lain.

Ø Selain itu, terdapat juga senjata-senjata seperti pedang, tombak dan keris panjang serta penggunaan bahasa dalam atau bahasa istana yang dikhaskan untuk sultan dan kerabatnya. Semua hak-hak keistimewaan ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.





(b) Ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu

Ø Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.

Ø Hanya sedikit sahaja istiadat yang dihadiri oleh sultan sebagai pemimpin rakyat . Peranannya tidak begitu aktif. Upacara-upacara besar dalam masa pemerintahan baginda ialah hari pertabalan dan pemakaman. Pada masa ini pembesar dan rakyat jelata akan berhimpun. Pada masa perayaan besar tahun Islam seperti Hari Raya Puasa, sultan akan mengadakan majlis jamuan.


Kesimpulan (2/3 markah)

Kesimpulannya, sultan memainkan peranan yang cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Pengenalan sistem Residen pada tahun 1874 di Perak, seterusnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah menjejaskan kedudukan kuasa sultan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Sultan kini hanya berkuasa dalam bidang agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja , semua kuasanya yang lain dibolot oleh Residen Inggeris.


Soalan 2

Bincangkan kegiatan ekonomi di Malaysia sebelum campur tangan British.

Pendahuluan (3/2 markah)

Kegiatan ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan British lebih bersifat sara diri dan komersial. Kegiatan perdagangan juga dijalankan oleh saudagar-saudagar tempatan (Raja-raja Melayu dan pembesar-pembesar Melayu). Di Sabah dan Sarawak kegiatan ekonomi sara diri dan komersial dijalankan oleh kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan Melayu. Di Sabah masyarakat pribumi yang menjalankan kegiatan ekonomi saradiri ialah orang Bajau, Kadazan/Dusun, Melayu Brunei dan Kedayan. Mereka menjalankan kegiatan pertanian seperti menanam padi huma, padi sawah, mencari hasil hutan dan memburu binatang. Sebilangan penduduk ada yang menjalankan kegiatan perniagaan dan perdagangan.

Isi : (20 markah)

A. Kegiatan Ekonomi di Tanah Melayu (10 markah)

1. Kegiatan Ekonomi Saradiri

a. Penanaman Padi.

Ø Padi merupakan tanaman utama yang diusahakan oleh masyarakat Melayu tradisional. Padi ditanam untuk kegunaan sendiri bukan untuk jualan. Dua jenis padi yang ditanam iaitu padi huma dan padi sawah. Padi huma di tanam di kawasan tanah tinggi seperti di lereng-lereng bukit kerana tidak memerlukan air yang banyak. Penanaman padi huma dijalankan secara pertanian pindah yang kebiasaan dijalankan oleh orang Asli seperti Semai Jakun dan Temiar.

Ø Padi sawah pula dipercayai diperkenalkan oleh orang Siam dan Minangkabau. Padi sawah ditanam di kawasan tanah rendah dan di kawasan yang mempunyai banyak air. Kebanyakan kawasan penanaman padi sawah adalah kawasan yang subur seperti tebing-tebing sungai dan tanah pamah persisiran pantai.

Ø Kawasan penanaman padi yang utama ialah Kuala Selangor, Dataran Perlis, Seberang Prai, Pahang dan Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun beras masih diimport oleh Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Padi sawah memerlukan banyak air. Antara kaedah yang digunakan ialah sistem pengairan . Melalui sistem ini air sungai disekat dengan membina empangan yang diperbuat daripada kayu, kincir air dan terusan. Kaedah yang digunakan dalam penanaman padi ialah menggunakan binatang untuk membajak, najis binatang, kuku kambing untuk menanam padi.

b. Tanaman-tanaman Lain.

Ø Selain tanaman padi, tanaman-tanaman lain juga ditanam iaitu jagung, kopi, tembakau, pisang tebu, ubi kayu, lada hitam gambir, kelapa dan keledek.


c. Hasil hutan .

Ø Memungut hasil hutan merupakan kegiatan tradisi masyarakat Melayu. Antara hasil hutan ialah rempah-ratus, kayu-kayan, rotan, damar, madu lebah, nipah, buluh, kapur barus, buah-buahan, getah jelutung, kayu cendana serta pelbagai hasil hutan yang lain. Pengumpulan hasil-hasil hutan ini dilakukan orang-orang Melayu dan Asli.

d. Memburu binatang

Ø Masyarakat Melayu tradisi menjalankan kegiatan memburu binatang sebagai kegiatan sampingan. Antara binatang yang diburu termasuklah pelanduk, kancil, rusa, seladang dan ayam hutan. Kegiatan berburu dijalankan secara meluas di Pahang dan Terengganu. Kegiatan menjerat gajah juga dijalankan kerana gajah boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan . Gajah digunakan sebagai alat pengangkutan atau pengangkutan utama golongan pemerintah ,di samping menjadi lambang ketinggian taraf seseorang pemerintah. Gajah juga dijadikan hadiah oleh pemerintah atau persembahan serta kenderaan semasa peperangan. Kegiatan menjerat gajah dijalankan secara meluas di Pahang kerana terdapat banyak binatang liar di negeri tersebut.

e. Penternakan

Ø Antara kegiatan menternak binatang utama masyarakat Melayu ialah ayam, itik, lembu dan kerbau. Selain menjadi sumber makanan, binatang ternakan seperti lembu dan kerbau juga digunakan untuk membajak sawah dan menarik kayu.

f. Perikanan

Ø Kegiatan menangkap ikan merupakan kegiatan utama masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan persisiran pantai, tasik, dan sungai. Hasil tangkapan digunakan untuk keperluan diri dan lebihannya dijual atau dikeringkan.

Ø Penduduk di Kelantan, Terangganu dan Pahang menjalankan kegiatan menangkap ikan di laut antara bulan Mac hingga Oktober. Kegiatan menangkap ikan dihentikan antara bulan November hingga Februari kerana keadaan laut yang bergelora dan berbahaya kepada nelayan. Cara menangkap ikan berbeza-beza dan bergantung kepada keadaan setempat, sungai atau laut. Antara alat-alat yang digunakan untuk menangkap ikan di sungai dan tasik ialah serampang, tombak, tali kail, bubu, jala, pukat, pancing, jaring, tangguk, kelong, gawai, jermal, serkap dan lukah. Alat-alat yang digunakan menangkap ikan di laut ialah pukat, jala, jaring kelong dan rawai.

2. Kegiatan ekonomi komersial.

a. Padi dan beras.

Ø Di Kedah , Perlis dan Kelantan kegiatan penanaman padi adalah bersifat separa sara diri dan berorientasikan komersial. Kedah mengeksport beras ke Pulau Pinang. Manakala Kelantan pula mengeksport beras ke Singapura. Negeri-negeri yang dapat menghasilkan lebihan hasil beras ialah Selangor, Perak dan Terengganu. Mereka mampu membekalkan beras kepada negeri-negeri Melayu lain.

b. Hasil Hutan

Ø Hasil hutan merupakan kegiatan ekonomi komersial yang sangat diperlukan oleh para pendagangan. Antara hasil hutan yang dieksport ialah rotan, damar, gading gajah dan sebagainya.

c. Kegiatan pertanian dagang.

i. Lada hitam dan gambir

Ø Lada hitam dan gambir banyak ditanam di Johor dan Pulau
Pinang. Di Johor penanaman lada hitam dan gambir dijalankan oleh orang-orang Cina. Temenggong Daeng Ibrahim memberi hak berekonomi kepada tauke-tauke dan ketua kongsi gelap Cina bagi mengusahakan ladang-ladang lada hitam melalui Sistem Kangcu atau Surat Sungai.

ii. Kopi

Ø Ditanam oleh peladang-peladang Eropah. Kopi ditanam secara besar-besaran di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

d. Tanaman jualan lain

Ø Tanaman tebu banyak ditanam di Seberang Perai dan Krian. Orang Eropah memainkan peranan penting dalam penanaman. Banyak kilang memproses tebu didirikan di kawasan ini. Ubi kayu banyak diusahakan di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan. Ditanam secara meluas pada pertengahan abad ke-19.


3. Kegiatan Perlombongan

a. Bijih Timah

Ø Diusahakan oleh raja dan pembesar Melayu. Antara pembesar Melayu yang menjalankan kegiatan pelombongan bijih timah ialah Long Jaafar, Ngah Ibrahim dan Raja Jumaat. Mereka menggunakan buruh-buruh Cina. Kawasan kegiatan bijih timah yang utama ialah Kinta, Larut, dan Dinding di Perak; Sungai Ujong dan Sungai Linggi di Negeri Sembilan; Sungai Selangor dan Sungai Kelang di Selangor.

b. Emas.

Ø Diusahakan di Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor. Pada peringkat awal emas diusahakan oleh orang-orang Minangkabau dari Sumatera.


B. Kegiatan Ekonomi di Sarawak ( 5 markah )

1. Kegiatan Ekonomi Sara diri.

a. Penanaman Padi.

Ø Padi huma diusahakan oleh orang Iban,Bidayuh dan Kenyah. Diusahakan secara bergotong-royong. Padi huma diusahakan oleh masyarakat Kelabit yang tinggal di kawasan bukit Hulu Sg.Baram. Sistem tali air dibina untuk mengairi kawasan sawah.

b. Perikanan.

Ø Dijalankan oleh orang Melayu yang tinggal di kawasan persisiran pantai Kaum Iban menjalankan penangkapan ikan di kawasan sungai terutamanya di Sungai Rejang, Saribas dan Batang Lupar.

c. Tanaman-tanaman lain.

Ø Antara tanaman lain yang ditanam ialah lada hitam, pokok buah-buahan dan pokok mengkuang. Orang Melanau menjalankan kegiatan memproses sagu di Oya dan Mukah.

d. Perlombongan

Ø Antimoni diusahakan oleh orang Bidayuh.

e. Perdagangan.

Ø Dijalankan oleh orang Melanau dan Brunei di kawasan sempadan. Barang-barang yang didagangkan ialah sagu.


2. Kegiatan ekonomi komersial

a. Lada hitam

Ø Tanaman eksport terpenting pada zaman pemerintahan Brooke. Diusahakan oleh peladang Cina terutamanya pengusaha daripada Singapura.

Ø Brooke memberi tanah kepada saudagar-saudagar Cina untuk membuka kebun lada hitam. Antara tahun 1935-1939 Sarawak merupakan pengeksport kedua terpenting selepas Indonesia.

b. Gambir.

Ø Harga gambir meningkat pada tahun 1890-an. Brooke memberi tanah kepada peladang Cina. Gambir ditanam secara meluas di Bau. Pada awal abad ke-20, tanaman gambir mulai merosot kerana harganya tidak stabil.

c. Sagu.

Ø Sagu ditanam secara meluas di antara tahun 1850-1860. Diusahakan oleh orang Melayu dan Inggeris. Inggeris membuka kilang di Mukah dan memberi wang pendahuluan kepada pekebun-pekebun kecil. Mulai abad ke-20 orang Cina mulai mengambil alih kegiatan ini dan kemudian menguasai perusahaan sagu.



d. Perlombongan.

Ø Emas dilombong di Bau oleh orang Cina. Antimoni dilombong di Bahagian Pertama Sarawak. Pembesar Melayu menggunakan tenaga buruh Dayak.


C. Kegiatan ekonomi di Sabah. ( 5 markah )

1. Kegiatan ekonomi sara diri

a. Penanaman Padi

Ø Tanaman makanan utama. Padi sawah diusahakan oleh orang Kadazan dan Dusun. Kawasan penanaman padi yang utama ialah Tuaran, Papar, Penampang dan lembah bukit di Ranau, Keningau dan Tambunan. Padi huma ditanam di lereng-lereng bukit landai di kawasan pedalaman yang bergunung-ganang. Padi huma diusahakan oleh orang Murut dan Bajau.

b. Tanaman-tanaman lain

Ø Jagung, ubi kayu, keledek, buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan ‘ makanan selang”

c. Pertukangan

Ø Dijalankan oleh kaum Bajau. Mereka terkenal dengan kemahiran bertukang besi, menenun kain dan memacu kuda.

d. Perikanan

Ø Dijalankan oleh masyarakat Melayu Brunei dan Kedayan. Dijalankan di sepanjang pantai perairan Sabah dan bersempadan dengan Brunei.

e. Penternakan

Ø Binatang yang diternak ialah kerbau, ayam, itik dan khinzir. Dijalankan oleh suku kaum dusun dan Kadazan.

2. Kegiatan Ekonomi Komersial

a. Tembakau

Ø SBUB telah menggalakkan penanaman tembakau. Tembakau mula diusahakan oleh orang-orang Cina. Selepas tahun 1884, peladang-peladang Belanda dan Jerman memainkan peranan penting dalam penanaman tembakau. Kawasan tumpuan ialah Pantai Timur Sabah. Pada tahun 1890 terdapat 60 estet tembakau yang kebanyakan tertumpu di Bahagian Timur Laut dan Pantai Timur Sabah.

Ø Peladang menggunakan tenaga buruh dari Singapura dan Hong Kong. Pada penghujung abad ke-19 penanaman tembakau merosot apabila permintaan dari Amerika merosot.

b. Perlombongan.

Ø Emas diusahakan oleh orang Cina di Sungai Segama. Petroleum diusahakan secara komersial oleh SBUB.


Kesimpulan ( 2/3 markah )

Kegiatan ekonomi di Malaysia sebelum kedatangan Barat bersifat sara diri dan komersial. Kegiatan ekonomi sara diri adalah untuk keperluan diri dan keluarga sendiri. Kegiatan ini menjadi komersial apabila lebihan yang ada dijual atau ditukar dengan barangan lain. Setelah kedatangan Barat, kegiatan ekonomi sara diri masih wujud dan kegiatan komersial serta perdagangan semakin berkembang.
































Soalan 3

Bincangkan perluasan pengaruh asing di Sarawak hingga tahun 1841 dan di Sabah hingga tahun 1881.

Pendahuluan (3/2 markah)

Sarawak dan Sabah pada awalnya di bawah penguasaan Kesultanan Brunei manakala pada penghujung abad ke 19 sebahagian Sabah diserahkan kepada Kesultanan Sulu. Menjelang abad ke 19, Sarawak dan Sabah menjadi rebutan antara kuasa Barat. British sendiri mula menunjukkan minat terhadap Borneo sejak tahun 1760 tetapi gagal. Namun begitu, pengaruh asing yang bertapak di Sarawak dan Sabah ini melibatkan pedagang-pedagang Barat dan individu secara bersendirian.

A. Sarawak (10 markah)

Pengaruh James Brooke

Ø Perluasan kuasa asing di Sarawak dimulai dengan kehadiran James Brooke. Kehadiran James Brooke pada peringkat awal bertujuan untuk menyampaikan ucapan terima kasih dan hadiah British dari Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu S.G Bonham kepada Pangeran Muda Hashim kerana menyelamatkan pelaut British di pantai Kuching.

Ø Kehadiran James Brooke pada 1839 di Sarawak diwarnai dengan kekacauan lanun dan pemberontakan . Pemberontakan yang dicetuskan oleh Pangeran Usop bapa saudara Sultan Omar Ali Saifuddin II untuk menentang Pangeran Indera Mahkota (PIM) iaitu pembesar Brunei yang memerintah Sarawak. Kekejaman Pangeran Indera Mahkota melalui sistem percukaian yang membebankan menyebabkan orang Melayu dan Dayak menyokong Pangeran Usop.

Ø Kegagalan Pengeran Indera Mahkota telah membawa kepada penghantaran Pangeran Muda Hashim oleh Sultan Brunei untuk memberhentikan kekacauan di Sarawak. Namun beliau gagal menanganinya lalu meminta bantuan Gabenor Negeri-negeri Selat tetapi permohonan Pangeran Muda Hashim telah ditolak.

Ø James Brooke tertarik dengan perkembangan tersebut lalu kembali ke Sarawak. Pengeran Muda Hashim telah memohon pertolongan daripada James Brooke dan berjanji akan memberikan wilayah Serian dan Kuching serta jawatan Gabenor Sarawak jika beliau berjaya memberhentikan pemberontakan.

Ø James Brooke telah menerima tawaran tersebut lalu ke Sarawak bersama pasukan tentera yang diiringi dua meriam besar dan bergabung dengan Pangeran Muda Hashim . Akhirnya pemberontakan dapat dipatahkan pada Disember 1840.

Ø Tekanan James Brooke terhadap Pangeran Muda Hashim untuk memenuhi janjinya akhirnya memaksa Pangeran Muda Hashim melantik James Brooke sebagai Gabenor Sarawak yang sah pada 1841. Untuk mengukuhkan kekuasaannya, James Brooke mengadap Sultan Brunei untuk mendapat pengiktirafan serta menandatangani perjanjian penyerahan Sarawak kepada James Brooke dengan menggunakan gelaran Raja Sarawak.
B. Sabah (10 markah)

Pengaruh Syarikat Borneo Utara British (SBUB)

i. Charles Lee Moses

Ø Kehadiran pengaruh asing di Sabah melibatkan beberapa tokoh pedagang. Pengaruh asing di Sabah bermula apabila pada tahun 1865 seorang warga Amerika iaitu Charles Lee Moses mendapat hak pajakan ke atas Sabah daripada Sultan Brunei dan Pangeran Temenggung selama 10 tahun.

Ø Beliau berjaya menubuhkan satu syarikat, iaitu American Trading Company of Borneo.

ii. Joseph Torrey

Ø Namun begitu Charles Lee Moses telah menjual hak pajakannya kepada pedagang Amerika yang berpusat di Hong Kong diketuai oleh Joseph Torrey dan membuat petempatan di Sungai Kimanis.

Ø Joseph Torrey juga gagal untuk mengaut keuntungan lalu menjual konsesinya kepada Baron Von Overback iaitu konsul Jeneral Austria di Hong Kong.

iii. Gustavas Baron Von Overback

Ø Overback telah menjalankan usahasama dengan syarikat British yang dimiliki oleh Dent bersaudara pada tahun 1877.

Ø Kerjasama ini telah mencetuskan satu perjanjian baru antara Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mumin pada 1877 yang melibatkan penyerahan bahagian pantai Barat Sabah dan Sultan Brunei memperolehi ganjaran 5000 setahun.

Ø Manakala Sultan Sulu iaitu Sultan Jamal Al-Alam pada 1878 menyerahkan bahagian Timur Sabah dengan bayaran 5000 setahun.

iv. Alfred Dent

Ø Pada tahun 1881 , Baron Von Overback pula, menjual haknya kepada Dent bersaudara menyebabkan Dent mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mentadbir Sabah. Namun Dent berhadapan dengan masalah untuk mentadbir Sabah.

Ø Akhirnya beliau telah menubuhkan SBUB. Dent juga telah memohon daripada Ratu England untuk memperolehi taraf Piagam Di raja.

Ø Pada tahun 1881 juga kerajaan British memberi taraf berkenaan. Bermula episod baru dalam penjajahan British di Sabah.

Kesimpulan (2/3 markah )

Akhirnya pada penghujung abad ke-19, Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu telah kehilangan hak dan kepentingan di wilayah Sabah dan Sarawak sepenuhnya.
Campurtangan kuasa asing dalam politik Sabah dan Sarawak akhirnya telah mencetuskan penentangan kalangan rakyat tempatan dan timbulnya gerakan kesedaran.













































Soalan 4

Jelaskan perubahan-perubahan politik, ekonomi dan sosial di Negeri-negeri Melayu dari tahun 1874 hingga tahun 1896.

Pendahuluan (3/2 markah)

Campur tangan British di Negeri-negeri Melayu pada abad ke-19 menandakan bermulanya proses perubahan di Tanah Melayu meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial. Terdapat pelbagai perubahan yang telah berlaku di Negeri-negeri Melayu sepanjang tempoh 1874 hingga 1896. Perubahan-perubahan ini berlaku akibat pelaksanaan Sistem Residen di Perak (1874). Sistem ini kemudiannya diperluaskan ke Selangor dan Sungai Ujung pada 1875, Pahang pada 1888 dan Negeri Sembilan pada 1895.

Isi- ( 20 markah )

A. Perubahan Politik

Ø Sultan kehilangan kuasa pentadbiran di tangan Residen Inggeris. Residen merupakan pentadbir sebenar walaupun sepatutnya Residen adalah penasihat kepada Sultan dalam bidang pentadbiran. Sultan hanya berkuasa dalam hal-hal yang berkaitan dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam sahaja. Sultan terpaksa akur dengan arahan Residen yang bertanggungjawab kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat. Residen Inggeris pertama di Perak, JWW Birch cuba melaksanakan pelbagai pembaharuan radikal sehingga mengakibatkan berlakunya penentangan di Perak pada 1875 yang turut meragut nyawanya sendiri.

Ø British telah memperkenalkan pentadbiran berbentuk birokrasi. Pentadbiran negeri diketuai oleh Residen dan dibantu oleh pegawai-pegawai British. Pentadbiran peringkat daerah diketuai oleh Pegawai Daerah. Di peringkat mukim diketuai oleh Penghulu , Majistret atau Pemungut Cukai . Di peringkat kampung diketuai oleh Ketua Kampung . Kedua-duanya bertanggungjawab kepada Residen. Pejabat-pejabat kerajaan dibuka untuk melicinkan pentadbiran, memungut cukai, melaksanakan undang-undang dan mengawal keamanan.

Ø Majlis Mesyuarat Negeri ditubuhkan di setiap negeri yang terlibat dengan Sistem Residen bagi menggantikan Majlis Melayu. Segala keputusan akan diputuskan oleh Residen. Sultan telah kehilangan kuasa pentadbiran termasuk tidak boleh mempunyai tentera sendiri. Bidang kuasa keselamatan negeri terletak di bawah kekuasaan Residen. British telah membawa masuk anggota polis dan tentera terutamanya dari India untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman negeri-negeri Melayu.

Ø Residen bertindak bersendirian dan mengikut budi bicara mereka dalam menjalankan pentadbiran di negeri-negeri Melayu. Tidak ada garis panduan yang jelas dan nyata tentang tugas serta peranan Residen. Situasi ini mewujudkan masalah kerana kejayaan atau kegagalan sistem Residen bergantung kepada kebijaksanaan dan keperibadiaan seseorang Residen. Dalam warkah rasmi Pejabat Tanah Jajahan bertarikh 1 Jun 1876, tugas Residen hanyalah penasihat kepada Sultan dalam hal-hal pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan adat resam orang Melayu dan agama Islam.

Ø Residen tidak boleh memaksa Sultan untuk menerima nasihatnya tetapi amat memerlukan kerjasama Sultan dan pembesar bagi menjayakan pentadbirannya. Keadaan ini jelas apabila JWW Birch yang bongkak, sombong dan tidak menghormati orang Melayu gagal di Perak tetapi Hugh Low pula sebaliknya. Begitu juga dengan kejayaan Frank Sweettenham di Selangor.

Ø Sistem perundangan Barat telah diperkenalkan dengan menggunakan Hukum Kanun Jenayah India. Pengenalan undang-undang Barat telah mengakibatkan Sultan dan pembesar Melayu kehilangan kuasa menjatuhkan hukuman terhadap pesalah. Peranan Sultan dan pembesar telah diambilalih oleh hakim-hakim atau majistret yang dilantik untuk mengendalikan pelaksanaan sistem perundangan di negeri-negeri Melayu. Raja Idris pernah menjadi hakim Mahkamah Kuala Kangsar.

Ø Pasukan polis telah diperbesarkan di negeri-negeri yang melaksanakan Sistem Residen. Pelaksanaan undang-undang yang teratur juga telah dijalankan termasuk mendirikan mahkamah dan pelantikan majistret. Kesannya keamanan telah dapat diwujudkan di negeri-negeri Melayu dan telah membolehkan kegiatan ekonomi berjalan lancar.

Ø Dalam Majlis Mesyuarat Negeri, Sultan dilantik sebagai Presiden majlis untuk memberi nasihat kepada Residen. Majlis ini turut dianggotai oleh pembesar Melayu dan wakil pedagang Cina. Peranan majlis ini termasuklah membincangkan soal pembahagian hasil dan perbelanjaan negeri, melaksanakan tugas-tugas perundangan dan kehakiman, soal perlantikan pembesar Melayu dan menguruskan hal ehwal agama Islam.


B. Perubahan Ekonomi

Ø Perkembangan ekonomi yang pesat terutamanya kegiatan perlombongan bijih timah dan perusahaan getah. Kawasan-kawasan baru perlombongan bijih timah telah dibuka terutamanya di Lembah Kinta dan pada 1890 telah menjadi kawasan utama pengeluaran bijih timah bagi menggantikan Larut. Kegiatan pertanian ladang juga telah berkembang pesat terutamanya tanaman getah. Dasar tanah yang liberal telah diperkenalkan untuk pembukaan kawasan lombong dan ladang getah yang baru.

Ø Undang-undang Buruh turut dilonggarkan bagi menggalakkan kemasukan imigran dari India dan China untuk menampung keperluan tenaga buruh lombong bijih timah dan ladang getah. Modal asing turut masuk secara besar-besaran ke negeri-negeri Melayu. Perkembangan ekonomi telah meningkatkan hasil pendapatan dan eksport. Eksport negeri-negeri Melayu telah meningkat daripada $1,906,952.00 kepada $9,691,786.00 pada 1885.

Ø Selain Sultan, pembesar-pembesar Melayu turut menerima nasib yang sama apabila kehilangan kuasa pentadbiran dan hak memungut cukai kepada pegawai-pegawai British. Tugas-tugas pembesar termasuk memungut cukai telah diambilalih oleh Pegawai Daerah, Majistret atau Pemungut Cukai. Keadaan ini mengakibatkan berlakunya penentangan di kalangan pembesar seperti penentangan Dato Maharaja Lela di Perak dan Dato’ Bahaman di Pahang.

Ø Peranan Sultan dan pembesar dalam hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi juga turut berubah. Kuasa Sultan dan pembesar dalam memungut cukai telah diambilalih oleh pegawai-pegawai British. Cukai yang dipungut digunakan untuk pembangunan negeri. Sultan dan pembesar dibayar gaji atau elaun tetapi tidak mencukupi. Mereka bukan sahaja kehilangan sumber pendapatan tetapi juga pengaruh. Natijahnya berlakulah penentangan terhadap Inggeris di Perak dan Pahang.

C. Perubahan Sosial

Ø Dari segi sosial, keamanan Negeri-negeri Melayu dipulihkan. Sistem Residen berjaya mewujudkan keadaan yang stabil, sistem pentadbiran berjaya diperkemaskan. Perebutan takhta, perbalahan pembesar Melayu, pergaduhan kongsi gelap serta masalah perlanunan telah dapat ditamatkan atau dikurangkan secara beransur-ansur. Ini termasuklah perebutan takhta di Perak, perbalahan pembesar di Selangor dan Sungai Ujung serta masalah kongsi gelap (Ghee Hin dan Hai San) di Perak dan Selangor.

Ø Sistem Residen yang diperkenalkan telah membawa kepada pertambahan penduduk yang pesat di Negeri-negeri Melayu khususnya di kawasan pantai Barat. Pelaksanaan dasar buruh yang longgar serta galakan kerajaan Inggeris telah menyebabkan berlaku imigrasi penduduk Cina dan India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu.

Ø British turut campur tangan dalam adat resam orang Melayu terutamanya dalam hal perhambaan, pungutan cukai dan pelaksanaan hukuman. Campur tangan ini sukar diterima oleh orang Melayu sehingga mereka sanggup menentang pentadbiran Inggeris terutamanya di Perak pada 1875.

Ø British juga datang sebagai pemodal dan membawa imigran lain datang ke Tanah Melayu. Akibatnya terbentuk masyarakat majmuk di negeri-negeri Melayu. Proses urbanisasi atau perkembangan bandar-bandar turut berlaku di Negeri-negeri Melayu. Bandar-bandar ini wujud dan berkembang hasil daripada perkembangan pesat kegiatan ekonomi terutamanya perlombongan bijih timah. Bandar-bandar ini termasuklah Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Kuala Lumpur, Ampang dan Seremban.

Ø Perkembangan ekonomi moden di Negeri-negeri Melayu akibat pelaksanaan Sistem Residen 1874 sehingga 1896 turut membawa kemajuan pesat terhadap kemajuan infrastruktur. Jalan raya dan jalan keretapi telah dibina bagi menghubungkan kawasan perlombongan bijih timah dan ladang-ladang getah dengan bandar dan pelabuhan. Pada 1880an, Perak dan Selangor telah membelanjakan hampir 50% daripada belanjawan negeri untuk memajukan kemudahan perhubungan.

Ø Landasan keretapi yang pertama dibina di Perak menghubung Taiping ke Port Weld pada tahun 1885 manakala pada 1886, landasan keretapi yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bukit Kuda, Kelang telah dibina dan pada 1899 dipanjangkan ke Port Swettenham. Di samping itu perkhidmatan telefon dan telegraf turut diperkenalkan di Perak pada 1876 dan telah diperluaskan ke Kuala Lumpur pada tahun 1891.

Ø Perkhidmatan kesihatan mula diperkenalkan pada1878 dengan pembinaan hospital di Taiping dan Kuala Lumpur. Menjelang 1896, Perak mempunyai 15 buah hospital, Selangor mempunyai 14 buah manakala Negeri Sembilan 3 buah dan 2 buah di Pahang. Perkhidmatan kesihatan sangat penting untuk mengawal wabak penyakit terutamanya beri-beri yang sering menyerang pekerja-pekerja lombong biijih timah.

Ø Satu kejayaan penting dalam bidang sosial ialah penghapusan amalan perhambaan. Di Perak, Hugh Low berjaya menghapuskan sistem perhambaan pada 1884. Usaha-usaha yang sama juga dilakukan di Negeri Sembilan. Penghapusan sistem perhambaan membawa kerugian besar kepada para pembesar kerana mereka kehilangan sumber tenaga kerja serta telah merubah struktur masyarakat Melayu tradisional.

Kesimpulan (2/3 markah)

Perubahan-perubahan politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di Negeri-negeri Melayu dari tahun 1874 sehingga 1896 telah mendatangkan kesan positif dan negatif. Kelemahan pelaksanaan Sistem Residen dan kejayaannya telah menyedarkan British untuk memperbaikinya sehingga membawa kepada penubuhan Persekutuan 1896.




Soalan 5

Huraikan langkah-langkah ke arah kemerdekaan Tanah Melayu dari tahun 1949 hingga tahun 1957.

Pendahuluan (3/2 markah)

Perjuangan ke arah berkerajaan sendiri dan pembinaan negara bangsa di Tanah Melayu terserlah dengan kejayaan membentuk perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 bagi menggantikan Malayan Union (1946). Perisytiharan darurat yang bermula tahun 1948 secara tidak langsung telah menyemarakkan lagi semangat perjuangan ke arah kemerdekaan. Pengalaman Tanah Melayu menghadapi ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) semasa darurat telah mencetuskan kesedaran dalam kalangan penduduk terutamanya golongan nasionalis bagi memperjuangkan kemerdekaan tanahair. Kemenangan besar Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dalam Pilhanraya Umum 1955 telah membolehkan parti itu membentuk kerajaan dengan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri. Setelah itu, perjuangan ke arah kemerdekaan semakin kemas sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan secara rasmi pada 31 Ogos 1957.
Isi – (20 markah)

1. Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (JAK)

Ø Dato’ Onn bin Jaafar yang merupakan Yang Dipertua UMNO mendapati pentingnya diwujudkan perpaduan kaum sebagai mengukuhkan perjuangan ke arah kemerdekaan. Dengan ini Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (JAK) telah ditubuhkan pada 10 Januari 1949.

Ø JAK pada mulanya terdiri daripada 15 orang pemimpin pelbagai kaum yang dipengerusikan oleh E.E.C Thuraisingam. Orang Melayu diwakili oleh Dato’ Onn manakala orang Cina diketuai oleh Tan Cheng Lock. Walau bagaimanapun langkah Dato’ Onn membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu bagi mewujudkan perpaduan telah ditentang hebat dan menemui kegagalan.
2. Sistem Ahli (1951)

Ø Kegiatan komunis sepanjang tempoh darurat telah menyebabkan ketegangan antara kaum khususnya di antara orang Melayu dan Cina. Keadaan ini membimbangkan kerajaan kolonial Britsih lalu memulakan langkah ke arah kemerdekaan.

Ø Pada tahun 1951, Henry Gurney telah memperkenalkan Sistem Ahli yang bertujuan memberi pendedahan dan latihan pentadbiran kepada rakyat tempatan untuk memerintah negara sendiri.

Ø Melalui Sistem Ahli, pemimpin tempatan dilantik menjadi ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Mereka diberi tanggungjawab ke atas beberapa jabatan kerajaan pusat. Ia bertujuan mewujudkan kerjasama antara pelbagai kaum di semua peringkat pentadbiran demi perpaduan kaum. Pada tahun 1951, Sistem Ahli terdiri daripada dua orang Melayu, seorang Cina, seorang India, dan seorang Ceylonese.

3. Pilihanraya

Ø Selepas pembentukan Sistem Ahli, British telah memperkenalkan pilihanraya untuk memberi ruang kepada rakyat memilih pemimpin mereka di peringkat tempatan.Langkah ini juga sebagai latihan ke arah demokrasi berparlimen.

Ø Pilihanraya Majlis Perbandaran Georgtown Pulau Pinang diadakan pada tahun 1951. Parti Perikatan UMNO-MCA dibentuk pada tahun yang sama untuk bertanding menentang Parti Buruh dan Parti Radikal. Keputusannya Parti Radikal memenangi 6 daripada 9 kerusi.

Ø Pada tahun 1952, Parti Perikatan berjaya mengalahkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu (IMP) dalam Pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Perikatan memenangi 9 kerusi, IMP memiliki 2 kerusi, manakala 1 kerusi lagi dimenangi Parti Bebas.

Ø Berikutan kemenangan itu, keanggotaan Sistem Ahli telah ditambah dengan mewujudkan beberapa portfolio baru. Dato’ Onn bin Jaafar dilantik menjawat portfolio Hal Ehwal Dalam Negeri, E.E.C Thuraisingam Portfolio Pelajaran, Kolonel H.S.Lee Portfolio Pengangkutan, dan Dato’ Nik Ahmad Kamil memegang Portfolio Kerajaan Tempatan. Dr Ismail bin Abd. Rahman memegang portfolio Hasil Bumi.

Ø Pada 27 Julai 1955, Malayan Indian Congress (MIC) telah bergabung dengan Perikatan UMNO-MCA lalu membentuk Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC. Dalam Pilihanraya Umum pertama (1955), Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Pilihanraya telah memberi pengalaman secara langsung amalan sistem demokrasi kepada penduduk Tanah Melayu.
4. Pembentukan Kabinet Persekutuan Tanah Melayu

Ø Kemenangan besar Parti Perikatan dalam Pilihanraya 1955 memberinya mandat untuk membentuk kerajaan/kabinet. Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai ketua Perdana Menteri bagi Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Kabinet beliau dianggotai oleh 10 orang Menteri, iaitu enam dari UMNO, 3 dari MCA, dan 1 dari MIC.

Ø Sesungguhnya kejayaan membentuk kerajaan dan pemerintahan melalui prinsip demokrasi telah mengukuhkan lagi usaha ke arah kemerdekaan.


5. Rundingan Kemerdekaan

Ø Pada bulan Ogos 1955, Lennox- Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan telah berbincang dengan Tunku Abdul Rahman mengenai usaha pemberian taraf berkerajaan sendiri.Tunku Abdul Rahman telah mengetuai satu rombongan ke London untuk membincangkan kemerdekaan PTM. Rombongan disertai oleh 4 orang wakil Raja-Raja Melayu dan 4 orang wakil Parti Perikatan. Rundingan kemerdekaan dipengerusikan oleh Lennox-Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British berjalan selama tiga minggu dari 18 Januari hingga 8 Februari 1956.

Ø Hasilnya Perjanjian London 1956 telah ditandatangani antara Parti Perikatan dengan kerajaan British. Beberapa persetujuan dicapai, antaranya ialah:

i) PTM akan diberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957
ii) Harta benda dan perdagangan British di Tanah Melayu tidak akan
dimiliknegara oleh Perikatan
iii) British bebas menjalankan kegiatan ekonomi di Tanah Melayu
iv) Sebuah suruhanjaya akan dibentuk untuk menggubal satu perlembagaan baru
v) Pangkalan tentera British akan dikekalkan di Tanah Melayu.
6. Suruhanjaya Reid

Ø Kesan daripada Perjanjian London, Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan pada Jun 1956 yang diketuai oleh Lord Reid. Ahli-ahlinya terdiri daripada pakar perundangan dari negara-negara Komanwel. Suruhanjaya ini bertujuan mengadakan tinjauan dan mendapatkan pandangan rakyat mengenai bentuk pemerintahan yang akan diamalkan kelak.

Ø Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya:

i) Ketua kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ialah seorang Raja
ii) Raja-Raja Melayu lain kekal mengetuai negeri masing-masing
iii) Melaka dan Pulau Pinang diketuai oleh Yang DiPertua Negeri
iv) Sistem kerajaan Persekutuan terdiri daripada Kerajaan Pusat manakala
kerajaan negeri dikekalkan
v) Ahli Parlimen akan dipilih melalui pilihanraya umum
vi) Selepas 10 tahun merdeka, hak istimewa orang Melayu akan dikaji semula

Ø Laporan Suruhanjaya Reid telah dikaji semula dan beberapa pindaan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada Ogos 1957. Dalam satu memorandum tolak ansur (Pakatan Murni) di antara UMNO, MCA dan MIC, sebanyak lima perkara telah disepakati untuk menjadi asas pemerintahan Tanah Melayu, iaitu kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, dan kewarganegaraan.

Ø MCA dan MIC sedia menerima kedudukan istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan manakala UMNO pula menerima prinsip jus soli mengenai pemberian kewarganegaraan kepada orang Cina dan India; mereka juga bebas mengamalkan bahasa ibunda dan kepercayaan agama masing-masing.
7. Pengisytiharan kemerdekaan

Ø Pada 9 Mei 1957, Tunku Abdul Rahman dan rombongan telah berangkat ke London untuk merundingkan hal kemerdekaan.Tepat jam 12.01 minit pagi pada 31 Ogos 1957, bendera Union Jack telah diturunkan dan bendera PTM telah dikibarkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur sebagai menandakan tamatnya penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu. Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan dalam satu upacara gilang gemilang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Kesimpulan (2 /3 markah)

Perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu merupakan satu proses yang panjang dan menarik. Kemerdekaan dicapai menerusi kerjasama antara kaum dan kebijaksanaan kepemimpinan tempatan. Kemerdekaan telah mengembalikan semula kedaulatan bangsa Melayu dan tanahair yang telah dijajah oleh Inggeris sejak tahun 1874. Pengalaman pahit getir semasa dijajah merupakan peristiwa sejarah yang cukup bermakna kepada seluruh penduduk Tanah Melayu.


















Soalan 6

Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan dasar luar Malaysia dari tahun 1957 hingga tahun 1963.

Pendahuluan (3/2 markah )

Dasar luar merupakan interaksi sesebuah negara dengan negara lain. Melalui dasar luar sesebuah negara akan menyatakan pendirian terhadap perkembangan yang berlaku di luar sempadannya. Pembentukan dasar luar Malaysia di antara tahun-tahun 1957 hingga 1963 banyak dipengaruhi faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman dan luaran ini pula berkaitan dengan prinsip utama negara yang meliputi pelbagai aspek seperti soal keselamatan negara, kebajikan rakyat, keutuhan negara dan sebagainya.

Isi – ( 20 markah)

1. Geografi

Ø Malaysia terletak di kawasan yang paling strategik di dunia. Malaysia berada di tengah-tengah laluan utama perdagangan dunia, iaitu laluan yang menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Ini menjadikan laluan Selat Melaka sebagai laluan tersibuk di rantau Asia Tenggara.

Ø Selat Melaka menjadi laluan utama bagi pedagang-pedagang di antara Timur Jauh, Timur Tengah dan India. Berasaskan kedudukan ini Malaysia meletakkan pendirian yang bebas dan berkecuali sebagai keutamaan dalam pembentukan dasar luarnya. Oleh itu Malaysia berusaha menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai rantau yang aman, bebas dan berkecuali daripada sebarang pengaruh luar.

2. Ekonomi

Ø Kepentingan ekonomi mempengaruhi penggubalan dasar luar Malaysia. Sebagai pengeluar bahan mentah utama seperti bijih timah, getah dan kelapa sawit, Malaysia memerlukan pasaran luas dan menyeluruh di peringkat antarabangsa bagi memasarkan barangan dan hasil negara.

Ø Malaysia mengharapkan rakan dagang di seluruh dunia bukan sahaja untuk memasarkan hasil keluarannya tetapi juga memerlukan pelbagai barangan dari luar untuk keperluan rakyatnya. Jalinan hubungan dagang dengan pelbagai negara akan dapat meningkatkan hasil ekspotnya dan menjadikan pelabuhan di Malaysia sebagai destinasi pelabuhan utama di dunia.

3. Sejarah dan demografi

Ø Sejak dahulu lagi Malaysia menjalinkan hubungan yang rapat dengan negara-negara Islam. Hubungan ini dipengaruhi oleh faktor sejarah dan penduduk di negara ini yang majoritinya beragama Islam. Malaysia juga tidak menjalin hubungan diplomatik dengan negara Israel bagi menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.

Ø Dasar luar Malaysia juga menekankan prinsip perpaduan antara manusia dengan prinsip menghormati hak asasi manusia. Keadaan ini sesuai dengan kedudukan negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum. Oleh itu, Malaysia menentang dasar perbezaan warna kulit, bangsa dan agama seperti dasar apartheid yang pernah diamalkan di Afrika Selatan.

4. Sistem Politik Negara.

Ø Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang menekankan kebebasan dan kemakmuran rakyat. Oleh itu, dasar luar Malaysia menekankan prinsip kebebasan manusia, keamanan dan menentang segala bentuk penjajahan , penindasan ekonomi, sosial dan politik dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

5. Keselamatan Negara dan Masalah Politik Serantau

Ø Untuk mengelakkan ancaman dari luar negara maka Malaysia memerlukan dasar luar yang dapat mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.

Ø Penggubalan dasar luar juga dipengaruhi oleh faktor keselamatan negara dan keadaan politik semasa, contohnya ancaman fahaman komunis pada tahun 1960-an menyebabkan Malaysia melaksanakan dasar luar yang sesuai bagi membendung kemaraan fahaman komunis.

Ø Pergolakan politik yang berlaku di Vietnam dan Kampuchea telah mendorong Malaysia berusaha menjadikan rantau ini sebagai zon aman, bebas dan berkecuali.

Ø Malaysia memainkan peranan dalam menyelesaikan krisis politik di beberapa buah negara, contohnya berperanan menyelesaikan konflik politik di Kampuchea

6. Institusi Antarabangsa

Ø Malaysia memainkan peranan penting dalam institusi-institusi antarabangsa. Malaysia memberi sokongan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam usaha mengekalkan keamanan dan kemakmuran dunia.

Ø Malaysia menunaikan tanggungjawab memberi sumbangan kewangan kepada pertubuhan dunia sebagai syarat keahlian.

Ø Malaysia juga terlibat dengan pertubuhan antarabangsa lain seperti Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) Pertubuhan Negara-Negara Komanwel dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Ø Penglibatan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa menunjukkan komitmen Malaysia dalam memelihara keamanan serta memupuk semangat kerjasama dan perpaduan antarabangsa

7. Undang-undang Antarabangsa

Ø Sistem perundangan antarabangsa turut mempengaruhi pembentukan dasar luar Malaysia. Malaysia menghormati prinsip yang terkandung dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan peraturan yang ditetapkan oleh badan-badan antarabangsa. Peraturan-peraturan itu seperti tindak tanduk semua negara mengenai diplomasi, menghormati keutuhan wilayah negara lain, komunikasi dan mekanisme untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul antara negara.

Ø Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara dan memainkan peranan aktif dalam perbincangan ke arah mewujudkan keamanan dan mengekalkan kemakmuran dunia.

8. Kepimpinan

Ø Selepas mencapai kemerdekaan keadaan politik negara masih belum stabil angkara ancaman komunis. Lantaran itulah dasar luar Malaysia pada ketika itu bersifat anti komunis dan pro Barat. Pada ketika itu Malaysia menjalinkan hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya. Melalui hubungan ini Malaysia mengharapkan Amerika Syarikat memberi bantuan kepada Malaysia untuk menentang komunis.

Ø Dasar pro-barat ini juga dipengaruhi oleh keperibadian Tunku Abdul Rahman yang condong kepada Barat. Beliau mendapat pendidikan di Eropah dan lebih mesra dengan pemimpin negara-negara barat yang anti komunis.

Kesimpulan ( 2/3 markah )

Perbincangan di atas menjelaskan bahawa pembentukan dasar luar Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Namun yang jelas dasar luar Malaysia di antara tahun-tahun 1957 hingga 1963 ,iaitu era kepimpinan Tunku Abdul Rahman menunjukkan kecondongan hubungan rapat Malaysia dengan negara-negara barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan Britain. Ini banyak dipengaruhi oleh situasi politik di Malaysia pada ketika itu yang masih lagi menghadapi ancaman komunis. Selepas Tun Abdul Razak mengambilalih kepimpinan negara dasar luar, Malaysia mulai berubah daripada terlalu pro barat kepada dasar luar yang berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi. Dasar ini bermatlamat untuk memastikan negara selamat daripada sebarang ancaman luar.

















Soalan 7

Huraikan sistem pembesar di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat.

Pendahuluan (3/2 markah)

Pembesar bermakna pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja dan maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan tugas-tugas dalam bidang kuasa yang diberikan kepadanya. Sebelum kemasukan pengaruh barat, negara-negara di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur mengamalkan sistem pemerintahan beraja dan disokong oleh sistem pembesar. Kelompok pembesar inilah yang melaksanakan tugas-tugas pemerintahan. Kedudukan pembesar ini sangat penting dan berada pada paras kedua selepas kedudukan raja dan maharaja. Kedatangan Perancis di Vietnam telah mengubah sistem pemerintahan di negara tersebut kepada corak pemerintahan Perancis. Manakala di Thailand, sistem pembesar feudal yang mulai kukuh pada zaman dinasti Chakri yang diasaskan oleh Pya Taksin pada 1767 mengalami sedikit perubahan apabila Raja Mongkut dan Chulalongkorn menaiki takhta.

Isi – (20 markah)

A. Vietnam (10 markah)

Ø Di Vietnam, satu bentuk pemerintahan yang sistematik telah disusun semasa pemerintahan dinasti Nguyen. Sebuah Majlis Tertinggi (Noi-Cac) yang dipengerusikan oleh maharaja akan dibantu oleh enam kementerian (Quan) iaitu Hal Ehwal Awam, Kerja Raya, Kewangan, Upacara, Kehakiman, dan Peperangan. Quan yang penting ialah Quan Awam yang mempunyai taraf yang tinggi berbanding Quan-quan lain.

Ø Ketua-ketua Quan terdiri daripada kalangan yang menerima pendidikan Confucius dan turut bertindak sebagai pembesar mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem pentadbiran kerajaan. Mereka akan melalui peperiksaan perkhidmatan awam Confucius dan kemudiannya dilantik oleh maharaja.

Ø Majlis ini bukan hanya bertanggungjawab memberikan pandangan kepada maharaja dalam semua hal yang berkaitan dengan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan malah lebih penting lagi, ia menjadi medan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang tidak dapat diselesaikan di peringkat kementerian.

Ø Golongan Quan atau Mandarin mempunyai bidang kuasa yang besar dan berpengaruh. Mereka melaksanakan tugas-tugas maharaja. Mereka mendapat sokongan dan sanjungan serta dihormati oleh rakyat. Mereka dianggap penegak keadilan. Mereka juga merupakan pentafsir undang-undang dan bertindak sebagai pegawai kehakiman.

Ø Para pembesar di peringkat daerah bertanggungjawab untuk mengutip cukai, menjalankan upacara-upacara keagamaan serta adat istiadat, mengambil dan melatih tentera dan bertanggungjawab dalam soal kehakiman.

Ø Pembesar yang paling rendah sekali ialah pembesar yang berkuasa di peringkat komun (kampung). Dalam soal ini, selagi wujud ketenteraman dan penguatkuasaan undang-undang di kampung, kerajaan pusat tetap memberikan kebebasan kepada pembesar untuk melaksanakan pentadbirannya.

Ø Walaupun kuasa politik ada pada golongan Quan atau Mandarin dan kepimpinan mereka diperakui oleh masyarakatnya, tidak semuanya menjalankan tugas dengan amanah dan jujur. Terdapat segelintir Quan yang mengambil rasuah berupa ‘hadiah’ apabila mengendalikan sesuatu kes yang melibatkan undang-undang.

Ø Terdapat juga pembesar yang menindas rakyat dengan merampas tanah mereka. Oleh itu, pada zaman pemerintahan Maharaja Gia Long, baginda telah menamatkan keistimewaan yang dipegang oleh golongan bangsawan. Golongan ini tidak lagi memiliki ladang yang besar dan hak memungut cukai. Hal ini dilakukan demi menjaga kebajikan rakyat dan pemerintahannya.

B. Thailand (10 markah)

Ø Pembesar di Thailand terdiri daripada kalangan bangsawan yang digelar Khunnang, serta anak-anak raja. Pembesar atau Khunnang di bahagikan kepada beberapa jabatan (krom). Antaranya, Krom Mahattai (Jabatan Hal Ehwal Pentadbiran Awam), Krom Kalahon (Jabatan Pertahanan) dan Krom Khlang (Jabatan Kewangan dan Hubungan Luar).

Ø Krom Mahattai adalah krom yang paling berprestij. Pembesar yang mengetuai ketiga-tiga krom /jabatan ini adalah pembesar kanan yang berhubung terus kepada raja.

Ø Ketua krom Mahattai memakai gelaran Samuha Nayok yang turut bertanggungjawab mengawal wilayah utara Siam. Ketua Krom Kalahon memakai gelaran Samuha Phra Kalahon atau Ketua Menteri yang mentadbir bahagian Selatan dan turut menjaga aspek pertahanan. Ketua Krom Khlang memakai gelaran Chao Phraya Phra Khlang yang bertanggungjawab mengawal kawasan pesisir pantai dan teluk Siam.

Ø Di bawah Ketua Krom Kalahon dan Mahattai terdapat para pembesar yang berjawatan lebih rendah. Mereka ini terdiri daripada empat Krom yang termasuk dalam kebinet pemerintah Siam. Keempat-empat krom ini dikenali Jatusadom atau 4 jabatan kanan yang bertanggugjawab melicinkan pentadbiran Siam.

Ø Keempat-empat jabatan ini terdiri daripada Krom Muang (Jabatan Ibu Kota) yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran ibu kota dan kawasan sekitarnya. Krom Na (Jabatan tanah) yang bertanggungjawab kepada pentadbiran tanah. Krom Wang (Jabatan Istana) yang bertanggungjawab kepada soal istana. Satu lagi ialah Krom Khlang.

Ø Matlamat utama sistem pentadbiran pusat dan wilayah di Thai ialah untuk melicinkan pentadbiran kerajaan. Mereka juga mempunyai matlamat untuk menguasai sumber tenaga manusia, iaitu unsur penting yang dapat menjamin kedudukan ekonomi, politik dan sosial mereka.



Kesimpulan (2/3 markah)

Tidak dinafikan bahawa sistem pembesar merupakan satu aset penting dalam sistem pemerintahan di Vietnam dan Thailand . Mereka telah membantu raja di negara masing-masing di peringkat kuasa masing-masing. Selepas kedatangan kuasa Barat pada abad ke-19, pihak Perancis telah menghapuskan peranan pembesar feudal di Vietnam. Sistem pemerintahan bercorak Barat diperkenalkan dan jauh berbeza dengan sistem pemerintahan tradisional. Barat amat menekankan undang-undang, manakala pemerintahan tradisional bersifat terbuka dan bergantung kepada raja. Meskipun tidak pernah dijajah, Thailand juga turut melakukan sedikit perubahan apabila Raja Mongkut telah mengambil penasihat-penasihat Barat dalam pentadbirannya.



































Soalan 8

Bincangkan perjuangan Jose Rizal di Filipina dan Ho Chi Minh di Vietnam dalam gerakan nasionalisme di negara masing-masing.


Pendahuluan ( 3/2 markah )

Jose Rizal dan Ho Chi Minh adalah dua tokoh yang dianggap wira dalam perjuangan nasionalisme di negara masing-masing. Jose Rizal dilahirkan di Calamba, Luzon pada tahun 1861 daripada keturunan Sepanyol-Cina. Beliau berminat dalam bidang bahasa dan kesusasteraan. Beliau telah berusaha menuntut kemerdekaan bagi Filipina melalui idea penulisan. Ho Chi Minh mempelopori ideologi komunis di Vietnam. Beliau telah mempelajari idea-idea komunis semasa berada di Eropah. Sekembalinya dari Eropah beliau telah singgah di Canton dan di sinilah beliau menubuhkan Kesatuan Revolusi Belia Vietnam yang berfahaman komunisme. Kedua-dua tokoh ini mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu masing-masing berusaha menuntut kemerdekaan bagi negara masing-masing.

Isi (20 markah)

A. Jose Rizal ( 10 markah )

i. Perjuangan melalui penulisan.

Ø Semasa berada di Sepanyol beliau bersama cendekiawan Filipina lain yang bersemangat nasionalisme telah menerbitkan akhbar La Solidaridad pada tahun 1889 di Barcelona, Sepanyol. Akhbar ini telah mengkritik penindasan pentadbiran Sepanyol di Filipina. Antara mereka ialah Marcelo del Pilar dan Graciano Lopez Jaena.

Ø Jose Rizal yang meminati bidang penulisan telah menghasilkan idea nasionalisme melalui tulisannya yang bernama Noli Me Tanggere yang dihasilkan di Berlin pada tahun 1887. Karya tersebut bermaksud ‘ Jangan Sentuh Daku atau Darah Masyarakat’. Novel ini telah mendedahkan kepincangan masyarakat Filipina akibat ketidakadilan yang dilakukan oleh Sepanyol. Melalui novel El Filibusterismo atau “Pemerintah yang tamak’ beliau telah mengkritik undang-undang dan golongan agama di Filipina.

ii. Perjuangan melalui persatuan.

Ø Sekembalinya beliau dari luar negara beliau telah menubuhkan Liga Filipina di Hong Kong pada tahun 1891. Liga Filipina bukan sebuah pertubuhan berbentuk revolusi. Pertubuhan ini sebuah pertubuhan nasionalis yang lebih menumpukan perjuangan terhadap pembangunan masyarakat. Beliau berjaya menubuhkan cawangan Liga Filipina di Manila pada tahun 1892 dengan tujuan :

· mendapatkan pembaharuan sosial, ekonomi dan politik secara aman.

· Melindungi penduduk Filipina daripada kekejaman dan ketidakadilan Sepanyol.

· Mengkritik golongan gereja yang menjadi penghalang kemerdekaan Filipina.

Ø Pihak Sepanyol menganggap Liga Filipina sebagai sebuah pertubuhan yang membahayakan kedudukan mereka. Akibatnya Jose Rizal telah ditangkap dan telah dibuang negeri ke Dapitan ,Mindanao, manakala Liga Filipina telah diharamkan. Idea-idea nasionalisme yang dibawa oleh Jose Rizal telah memberi kesedaran kepada Andres Bonifacio untuk menubuhkan Katipunan ( Kesatuan Putera-putera Republik ) pada tahun 1892.

Ø Katipunan lebih bersifat radikal dan matlamat penubuhannya ialah untuk memperolehi kemerdekaan bagi Filipina. Pemimpin-pemimpin Katipunan menemui Jose Rizal di Dapitan untuk mendapat restunya terhadap perjuangan mereka. Walau pun beliau memberi restu tetapi beliau menasihatkan mereka supaya revolusi tidak dicetuskan kerana rakyat Filipina belum bersedia. Apabila rahsia gerakan Katipunan diketahui oleh Sepanyol setelah menemui alat-alat percetakan di Biaro dan Manila, pemerintah Sepanyol telah menangkap pemimpin Katipunan. Bonifacio dan pengikut-pengikutnya telah berjaya melarikan diri ke kawasan berbukit di Balintawak.

Ø Bonifacio dan pengikutnya telah mengambil keputusan melancarkan revolusi pada 29 Ogos 1896. Revolusi telah merebak ke seluruh Filipina. Jose Rizal yang masih dalam buangan masih tidak menyokong rancangan revolusi Katipunan kerana beranggapan rakyat Filipina belum bersedia dari segi kelengkapan senjata.

Ø Sepanyol tetap beranggapan ketokohan Jose Rizal sebagai satu ancaman kepada mereka, lantaran itu Sepanyol telah menuduh Jose Rizal mendalangi revolusi. Akhirnya Rizal dijatuhi hukuman bunuh. Pembunuhan Jose Rizal menyebabkan perjuangan para nasionalis terutamanya Katipunan lebih gigih dan bersemangat dalam menuntut kemerdekaan.

B. Ho Chi Minh ( 10 markah )

Ø Ho Chi Minh ( Nguyen Ai Quoc ) merupakan pelopor ideologi komunis di Vietnam. Beliau anak seorang pegawai rendah di Nghe-an. Pada tahun 1911 beliau telah pergi ke Eropah berkerja sebagai kelasi kapal. Antara tahun 1913 hingga 1917 beliau telah tinggal di London dan bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel.

Ø Pada tahun 1917 beliau telah berpindah ke Perancis dan bertugas sebagai penolong jurugambar. Beliau telah tinggal bersama dengan pemimpin nasionalisme Phan Chau Trinh. Beliau telah mengambil bahagian dalam kegiatan nasionalisme. Beliau telah berjinak-jinak dengan kegiatan sosialis Perancis yang anti penjajah.

Ø Pada tahun 1920, beliau menjadi orang pertama Vietnam menjadi ahli Parti Sosialis Perancis. Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Vietnam di Paris. Pada masa yang sama beliau telah menyertai Comintern Pertubuhan Komunis Antarabangsa ). Beliau telah mula menulis rencana-rencana untuk Parti Komunis Perancis. Beliau telah menjadi wakil Parti Komunis Perancis dalam Kongres Majlis Petani Antarabangsa di Moscow. Semasa di Moscow beliau telah mengkaji idea-idea komunis dan revolusi.

Ø Pada tahun 1925 Ho Chi Minh telah dilantik menjadi juru bahasa dalam misi Borodin. Borodin ialah agen dan penasihat Russia bagi Kuomintang di Canton. Semasa berada di Canton. Ho Chi Minh bersama-sama pelarian politik Vietnam yang tinggal Canton telah menubuhkan Kesatuan Revolusi Belia Vietnam tahun 1925. Ibu pejabat Kesatuan Revolusi Belia Vietnam telah berpindah ke Hong Kong.

Ø Liga Pemuda Revolusi Vietnam ini merupakan pertubuhan Marxist tulen di Indo-China. Liga ini dijadikan asas kepada melatih pemuda-pemuda Vietnam tentang ajaran komunis. Anggota Liga Pemuda Revolusi Vietnam telah dihantar ke Vietnam bagi membangkitkan kesedaran kebangsaan dan fahaman komunis di kalangan rakyat.

Ø Berbeza dengan perjuangan golongan nasionalis sebelum ini, Ho Chi Minh dan Liga Pemuda Revolusi Vietnam telah memperjuangkan kepentingan golongan rakyat bawahan terutama golangan proletariat dan petani kerana golongan inilah yang paling tertindas akibat imperialisme Perancis.

Ø Ho Chi Minh telah mengasaskan kemerdekaan Vietnam dalam dua peringkat. Pertama beliau merancangkan penubuhan sebuah kerajaan demokratik terlebih dahulu. Kedua fahaman komunis akan diperkenalkan kemudian.

Ø Pada tahun 1930, Liga Pemuda Revolusi Vietnam dibawah Ho Chi Minh telah mempengaruhi para pekerja untuk melakukan beberapa mogok dan tunjuk perasaan terhadap Perancis. Ini disebabkan pendapat petani terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi. Komunis telah mengatur tunjuk perasaan petani dan pemogokan di ladang-ladang dan kilang-kilang secara besar-besaran. Kekacauan telah berlaku di Annam dan Cochin-China.

Ø Akibatnya, pihak pemerintah Perancis bertindak terhadap Liga Pemuda Revolusi dengan melakukan penindasan dan penangkapan terhadap pemimpin dan ahli Liga Pemuda Revolusi. Ramai pemimpin-pemimpin komunis dihukum bunuh. Ho Chi Minh dan para pengikutnya telah melarikan diri ke Hong Kong pada tahun 1930.

Ø Di Hong Kong, British telah berjaya menangkap Ho Chi Minh dan memenjarakannya sebagai ahli revolusi pada bulan Jun 1931. Pada tahun 1933, mahkamah British telah membebaskannya kerana tidak ada bukti untuk mendakwanya. Pada tahun 1936 beliau telah pergi ke Moscow dan kemudian telah pergi ke China pada tahun 1937. Di China, pemimpin Kuomintang telah menangkap dan memenjarakannya sehingga tahun 1948.

Ø Pada tahun 1943, Kerajaan Kuomintang telah membebaskan dan membantu mengatur gerakan penentangan di Vietnam. Dengan persetujuan kerajaan China, Ho Chi Minh telah menubuhkan Viet Nam Doc Lap Dong Minh Hoi ( Liga bagi Kemerdekaan Vietnam ) dan kemudiannya dikenali sebagai Viet Minh.

Ø Viet Minh menjadi kumpulan nasionalis yang menentang Jepun dan Perancis. Ahli-ahli kumpulan Dong Minh Hoi juga telah menyertai Viet Minh. Kerajaan China dan Amerika telah menyokong dan memberi bantuan senjata, peluru kepada Viet Minh.

Ø Pada tahun 1944 Jepun mulai kalah dalam peperangan Dunia kedua. Jepun telah memujuk Maharaja Bao Dai supaya mengisytiharkan kemerdekaan Vietnam ( Tongkin, Annam dan Cochin-China ). Pada ketika ini Ho Chi Minh berada di Utara Vietnam. Beliau enggan mengakui pengisytiharan kemerdekaan oleh Maharaja Bao Dai. Beliau dengan segera mengambil alih tujuh wilayah di Tongking.

Ø Pada tahun Ogos 1945, Jepun telah menyerah kalah. Ho Chi Minh telah berjaya menawan Hanoi. Kongres Viet Minh telah bersidang dan telah membentuk Jawatankuasa Pembebasan Kebangsaan Rakyat. Ho Chi Minh telah dilantik sebagai Presiden. Manakala pada 25 Ogos 1945 Maharaja Bao Dai telah turun takhta dan melarikan diri keluar negara. Baginda telah menyerah kuasa kepada kerajaan Viet Minh. Pada 2 September 1945, Viet Minh di bawah pimpinan Ho Chi Minh telah mengisytiharkan ‘ Republik Demokratik Vietnam”. Ho Chi Minh menjadi Presiden pertama Vietnam.


Kesimpulan ( 2/3 markah )

Kedua-dua pemimpin Jose Rizal dan Ho Chi Minh memainkan peranan yang sangat penting dalam gerakan nasionalisme di negara masing-masing. Jose Rizal berperanan dalam mencetuskan idea-idea nasionalis. Idea-idea nasionalisme diteruskan oleh Katipunan kerana Sepanyol telah menangkap dan menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Rizal. Manakala Ho Chi Minh terpaksa melalui liku-liku perjuangan yang panjang sebelum dapat menegakkan sebuah negara komunis di Vietnam.























Soalan 9

Bincangkan kesan-kesan Perjanjian Yandabo di Burma (1826) dan Perjanjian Nanking di China (1842).

Pendahuluan (3/2 markah)

Perjanjian Yandabo telah ditandatangani antara Burma (Myanmar) dengan British pada 24 Februari 1826 bagi menamatkan Perang Inggeris-Burma I. Manakala Perjanjian Nanking telah ditandatangani pada tahun 1842 bagi menamatkan Perang Inggeris-China I atau Perang Candu I. Kedua-dua perjanjian ini telah meninggalkan kesan politik, ekonomi dan sosial yang ketara kepada Burma dan China sebagai negara yang tewas. Kedua-dua perjanjian ini merupakan peristiwa penting bagi Burma dan China kerana menjadi titik permulaan hubungan rasmi antara pemerintah tempatan dengan kuasa Barat. Ia menandakan tamatnya dasar tutup pintu (isolasi) yang diamalkan oleh pemerintah Dinasti Konbaung di Burma dan Dinasti Manchu di China sejak sekian lama. Kesan langsung daripada kedua-dua perjanjian ini menyebabkan kuasa Barat mula bertapak di Burma dan China.
Isi ( 20 markah )

A. Perjanjian Yandabo (1826) – (10 markah)

1. Permulaan campur tangan British di Burma

Ø Perjanjian Yandabo menandakan permulaan campur tangan dan penjajahan British ke atas Burma. Melalui perjanjian ini, Burma dipaksa menjalinkan hubungan diplomatik dengan British.

Ø Burma terpaksa menerima seorang residen British yang ditempatkan di ibu negaranya Amarapura. Sir Henry Burney telah dilantik menjadi Residen British pertama di Burma pada tahun 1830

2. Tamatnya dasar tutup pintu Burma

Ø Perjanjian Yandabo pada dasarnya telah menamatkan dasar tutup pintu yang selama ini diamalkan oleh Dinasti Konbaung. Syarat-syarat perjanjian ini ternyata menguntungkan British dan merugikan Burma dari segi politik dan ekonomi

Ø Selepas perjanjian ini, politik Burma dan imej Dinasti Konbaung yang telah memerintah sejak tahun 1752 semakin lemah. Justeru, ia juga menjadi titik tolak kepada meletusnya Perang Inggeris-Burma kedua pada tahun 1852



3. Terjejasnya imej Dinasti Konbaung

Ø Perjanjian Yandabo ditandatangani setelah British mencapai kemenangan dalam perang ke atas Burma. Kekalahan Burma telah mengaibkan serta menghancurkan keangkuhan pemerintah dan rakyat Burma

Ø Kekalahan ini juga mendedahkan kelemahan tentera Burma. Kesannya Burma terpaksa menerima British dan kuasa Barat atas dasar diplomatik dan sama taraf. Ia memberi tamparan hebat kepada keutuhan Dinasti Konbaung yang selama ini memusuhi British dan Barat.

4. Penguasaan wilayah Burma oleh British

Ø Selepas perjanjian ini, beberapa wilayah Burma yang kaya dengan pertanian, terutamanya di bahagian Burma Hilir iaitu Arakan dan Tennaserim mula dikuasai oleh British. Wilayah-wilayah ini akhirnya menjadi tapak permulaan penjajahan British ke atas seluruh Burma

5. Sentimen anti-British

Ø Kesan Perjanjian Yandabo telah menyemarakkan lagi sentiment anti-British dalam kalangan pemerintah dan pegawai kerajaan Burma. Ini jelas terbukti semasa pemerintahan Raja Tharawady yang enggan mengakui perjanjian Yandabo. Sebaliknya baginda bertindak keras dengan melakukan penindasan terhadap residen, pegawai dan pedagang British di Burma. Kerajaan Myanmar enggan memberi layanan sewajarnya kepada residen-residen British sehingga pada tahun 1840, British telah menarik balik residensinya di Amarapura. Tindakan ini telah memutuskan hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak.

6. Perang Inggeris-Burma II

Ø Sentimen anti-British berterusan dan semakin memuncak semasa pemerintahan Raja Pagan Min, pengganti Raja Tharawaddy. Baginda bertindak melakukan kekerasan dan kekejaman ke atas pegawai dan pedagang British. Sikap anti-British ini juga telah mempengaruhi pegawai Burma seperti Maung Ok iaitu Gabenor Pegu. Beliau menghalang perniagaan saudagar British di Rangoon dan Tennaserim. Saudagar British sebaliknya menuntut supaya mereka diberi kebenaran berniaga di pedalaman Burma.

Ø Maung Ok juga mengenakan tuduhan membunuh dan menipu ke atas dua orang kapten British dan memaksa mereka membayar ganti rugi sebanyak 1000 rupi. Hubungan buruk yang berlanjutan di antara Pagan Min dengan British telah menyebabkan British menghantar Komander Lambert bersama dua buah kapal perang ke Burma. Burma dituntut membayar ganti rugi kepada British dan melucutkan jawatan Maung Ok.

Ø Hubungan tegang Burma-British akhirnya menimbulkan kekacauan berterusan. Ini memaksa Lord Dalhousie iaitu Gabenor Jeneral British di India menghantar pasukan tentera ke Rangoon dan mendesak Burma membayar ganti rugi sebanyak 100 000 paun. Keengganan Burma memenuhi tuntutan British menyebabkan British mengisytiharkan perang pada Mei1852.

B. Perjanjian Nanking (1842) - (10 markah)

1. Kemerosotan dan kejatuhan Dinasti Manchu

Ø Perjanjian Nanking telah menamatkan Perang Inggeris-China I (1839-1842) yang disebabkan oleh pertentangan dua tamadun dan permasalahan candu. Kekalahan China dalam perang tersebut telah mendedahkan kelemahan tentera kerajaan Manchu

Ø Berdasarkan konsep “devine kingship”, masyarakat Cina percaya bahawa kerajaan Manchu telah kehilangan mandat dari syurga untuk terus memerintah negara China. Keadaan ini akhirnya telah mencetuskan Pemberontakan Taiping (1850-1864) yang bertujuan untuk menggulingkan Dinasti Manchu tetapi gagal.

2. Pencerobohan kuasa-kuasa Barat

Ø Kesan daripada Perjanjian Nanking menyebabkan China mula diceroboh oleh British dan kuasa-kuasa Barat yang lain. Ini disebabkan selepas perjanjian itu, China dipaksa menandatangani beberapa siri perjanjian lain dengan kuasa-kuasa Barat seperti Perjanjian Bogue dengan British (1843), Perjanjian Wang-hsia dengan Amerika Syarikat (1844), Perjanjian Whampoa dengan Peranchis (1844), Perjanjian China-Norway dan Perjanjian China-Sweden

3. Wujudnya lingkungan-lingkungan pengaruh kuasa asing

Ø Perjanjian Nanking telah membuka ruang kepada kuasa-kuasa asing bertapak dan meluaskan pengaruh di China. Melalui beberapa siri perjanjian yang ditandatangani selepas perjanjian Nanking, kuasa-kuasa Barat telah berlumba-lumba mendapatkan konsesi di China. Kesannya, negara China mula dibahagi-bahagikan di antara kuasa-kuasa Barat

Ø Rusia mendapat pajakan ke atas hujung selatan Semenanjung Liaotung termasuk Port Arthur dan Dairen selama 25 tahun mulai Mac 1898. Jerman pula diberi pajakan selama 99 tahun terhadap Teluk Kiaochow melalui satu perjanjian pada 6 Mac 1898. Ini memberi kebenaran kepada pihak Jerman untuk membina landasan keretapi dan mengeksploitasi lombong-lombong arang batu di Shantung.

Ø Pada April tahun yang sama, Peranchis mendapat pajakan selama 99 tahun ke atas Teluk Kwangchow. Ini membolehkan Peranchis membina jalan keretapi dari Tongking ke Yunnan-fu. British pula telah mendapat hak pajakan 99 tahun ke atas Kowloon. Menjelang bulan November 1898, Britain berjaya mendapatkan konsesi-konsesi membina jalan keretapi.

4. Penyerahan Hong Kong kepada British

Ø Melalui Perjanjian Nanking , China terpaksa menyerahkan wilayahnya iaitu Hong Kong kepada British. Ini amat bertentangan dengan konsep "Negara Tengah" (Middle Kingdom) yang dipegang China yang yang selama ini menganggap British dan kuasa Barat sebagai barbarian dan bertaraf rendah

5. Kesan ekonomi

Ø Salah satu syarat Perjanjian Nanking memaksa China membuka lima buah
pelabuhannya kepada pedagang luar, iaitu Canton, Amoy, Ningpo, Shanghai, dan Foochow. Ini telah mendorong kemasukan pedagang-pedagang asing ke China. Namun China kehilangan kuasa mengenakan sistem tarif untuk melindungi barang-barang buatannya. Sebaliknya barang-barang buatan kilang asing yang lebih murah mula membanjiri pasaran China. Ini telah menjejaskan industri tempatan terutamanya kilang paku dan perusahaan kraf tangan

6. Kesan sosial

Kedatangan pedagang Barat selepas Perjanjian Nanking membawa bersama mereka ajaran Kristian ke China. Agama Kristian semakin tersebar luas berikutan Perjanjian Whampoa (1844) yang memberi kebenaran kepada Peranchis membina gereja. Kesan sosial yang lain ialah berlaku masalah pengangguran, rompakan, dan penindasan yang berleluasa di China

Kesimpulan (2/3 markah)

Konklusinya, kedua-dua Perjanjian Yandabo dan Perjanjian Nanking banyak memberi keuntungan kepada pihak British dalam usaha untuk mengeksploitasi sumber-sumber kekayaan Burma dan China. Perjanjian Yandabo telah membuka ruang kepada British untuk meluaskan pengaruhnya dan menguasai seluruh wilayah Burma selepas menewaskan Burma dalam Perang Inggeris-Burma III (1885). Dasar tutup pintu yang diamalkan Dinasti Konbaung telah menyebabkan Burma akhirnya terpaksa tunduk kepada British sehingga diberi kemerdekaan pada tahun 1948. Demikian juga, Perjanjian Nanking telah memulakan dasar buka pintu di China. Ia memaksa China menjalinkan hubungan diplomatik dengan British dan kuasa-kuasa Barat lain. Kedua-dua perjanjian dengan jelas telah merintis jalan kepada perluasan kuasa dan penjajahan British ke atas Burma dan China.











































Soalan 10

Bincangkan dasar pengilhakan kuasa Barat di India dan di Indo-China pada abad ke-19

Pendahuluan (3/2 markah)

Pengilhakan adalah satu cara perluasan kuasa Barat di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur. Cirinya tidak berbeza dengan penguasaan melalui peperangan. Faktor utama perluasan kuasa Perancis di Indo-China dan British di India ialah untuk menguasai wilayah dan ekonomi di negara berkenaan. Dasar pengilhakan ini membolehkan kuasa-kuasa Barat menguasai wilayah dan ekonomi .Hasil barangan keluaran India khususnya mendapat permintaan yang luas di pasaran Barat.

A. Indo-China (10 markah )

Pengilhakan Tourane dan Saigon di Vietnam

Ø Selepas kematian Maharaja Gia Long 1820 an dasar luar negeri Vietnam telah berubah. Penggantinya, Minh Mang telah meneruskan dasar ayahandanya dengan Perancis. Baginda berpegang teguh kepada ajaran Confucianisme dan menjalankan dasar Pintu Tertutup.

Ø Revolusi Perindustrian yang berlaku di Perancis telah meningkatkan keperluannya bagi bahan-bahan mentah dan pasaran baru untuk hasil kilangnya di Timur. Vietnam mempunyai potensi sebagai pasaran bagi Perancis.

Ø 1825 baginda juga mengeluarkan undang-undang melarang kemasukan mubaligh-mubaligh Kristian kerana agama Kristian dianggap merosakkan kebudayaan tempatan. Hubungan Perancis-Vietnam semakin tegang semasa pemerintahan Tu Duc (1848-1883). Baginda juga merupakan seorang penganut yang berpegang kuat kepada ajaranConfucianisme dan menjalankan dasar pemencilan.

Ø Perancis telah mengambil tindakan menakluki Vietnam semasa agama Kristian menerima penekanan yang paling teruk antara tahun 1833 hingga 1883 iaitu pada masa pemerintahan Maharaja Thien Tri dan Maharaja Tu Duc.

Ø Permusuhan Perancis-Vietnam memuncak pada zaman pemerintahan Maharaja Tu Duc. Kegiatan agama Kristian semakin meluas dan kejadian pembunuhan mubaligh-mubaligh semakin bertambah. Antara tahun 1851-1852, Paderi Augustin Schoeffler dan Paderi Jean-Louis Bonnard telah dihukum bunuh.

Ø Akibatnya, Napoleon III, Raja Perancis ketika itu mengambil tindakan untuk menakluki Vietnam. Perancis menggunakan pembunuhan Bishop Diaz, seorang paderi Sepanyol di Tongking sebagai alasan untuk menyerang Vietnam.

Ø Pada 1 September 1858 de Genouily menyerang Tourane dan keesokkan harinya, Tourane jatuh ke tangan Perancis. Kemudian tentera de Genouilly mengalih perhatiannya terhadap Saigon yang merupakan kawasan penanaman padi utama dan pusat pengumpulan padi bagi Vietnam. Saigon telah jatuh ke tangan Perancis pada 17 Februari 1859. Tujuan penaklukan Saigon ini ialah untuk membolehkan Perancis mengugut Vietnam supaya mengadakan perjanjian dengan Perancis. Pada tahun 1862 Maharaja Tu Duc terpaksa menandatangani perjanjian dengan Perancis. Antara syarat-syarat perjanjian tersebut ialah,

(a) Tu Duc menyerahkan tiga buah wilayah ke timur Cochin-China kepada Perancis.
(b) Pelabuhan-pelabuhan seperti Tourane , Balat dan Kuang Anh dibuka kepada perdagangan Perancis.
(c) Kapal-kapal Perancis dibenarkan belayar di sepanjang Sungai Mekong.
(d) Vietnam berjanji memberikan kebebasan agama. Mubaligh-mubaligh dibenarkan menyebarkan agama Kristian di seluruh Vietnam.

Pengilhakan Kemboja.

Ø Kemboja telah memelihara kemerdekaannya dengan membayar ufti kepada Vietnam dan Siam. Pada tahun 1862, Laksamana Bonnard melawat Raja Norodom dan memintanya membayar ufti kepada Perancis dan bukan lagi kepada Vietnam.

Ø Pada tahun 1863 Laksamana la Grandiere memaksa Raja Norodom menandatangani satu perjanjian dengan Perancis. Raja Norodom bersetuju menghentikan pembayaran ufti kepada Vietnam dan Siam. Siam membantah hebat campur tangan Perancis kerana Kemboja merupakan negeri naungan Siam.

Ø Perselisihan atas soal taraf Kemboja dapat di atasi melalui satu perjanjian yang ditandatangani antara Perancis dengan Siam pada tahun 1867. menurut perjanjian tersebut Siam menarik balik semua tuntutan ke atas Kemboja dan sebagai balasannya, Perancis mengakui kedaulatan Siam ke atas Battambang dan Siem Reap.

Ø Dengan itu, Kemboja menjadi naungan Perancis. Raja Norodom menjadi raja boneka di bawah naungan Perancis.

Pengilhakan Tongking

Ø Tujuan utama Perancis menakluki Tongking ialah meluaskan pengaruh perdagangannya ke Tongking. Selain itu, Perancis juga berasa bimbang akan persaingan kuasa-kuasa Barat yang lain seperti Jerman, Itali dan Amerika Syarikat. Penindasan Maharaja Tu Duc terhadap orang Kristian juga memaksa Perancis menakluk Tongking.

Ø Serangan ke atas Tongking bermula 1873. Pada bulan Disember 1873 Perancis merampas Hanoi dan lain-lain kubu pertahanan di Haipong. Perluasan Perancis semakin berleluasa di bawah Kapten Henri Riviere telah menyerang dan merampas Hanoi dan Tongking pada tahun 1883.

Ø Tentera Vietnam semakin lemah untuk meneruskan peperangan kerana Maharaja Tu Duc mangkat pada tahun 1883. Penggantinya Maharaja Hiep Hoa bersetuju membuat perjanjian dengan Perancis,

(a) Vietnam diiktiraf sebagai negeri lindungan Perancis. Hal ehwal Vietnam dikuasai Perancis.

(b) Wilayah Binh Thuan diserahkan kepada Perancis.

(c) Vietnam bersetuju menarik balik semua angkatan tenteranya di Tongking.

Menjelang tahun 1884, Perancis menguasai seluruh Vietnam.

Pengilhakan Laos

Ø Perancis campurtangan dalam hal ehwal Laos dengan membantah penghantaran ufti kepada Siam dan mendakwa Laos harus menghantar ufti kepada Perancis kerana Vietnam sudah pun menjadi negeri naungannya.

Ø Pada tahun 1886 Perancis menuntut hak ke atas seluruh kawasan di sebelah timur Sungai Mekong termasuk Luang Prabang. Laos membantah kuat tuntutan Perancis. Perancis melantik Auguste Pavie sebagai naib Konsular di Luang Prabang.

Ø Siam campurtangan dalam hal ehwal di Laos dengan membantu pemberontak-pemberontak Cina. Augustu Pavie membantu Raja Luang Prabang menentang pemberontak dan memaksa mereka menyerah diri.

Ø Auguste Pavie mengambil alih Sip Song Chu Thai pada tahun 1888. Raja Oun Kham ditabalkan semula di Luang Prabang, yang dijadikan negeri naungan Perancis. Selepas itu, Auguste Pavie dilantik sebagai Residen Menteri di Bangkok pada tahun 1892. Beliau mendakwa wilayah-wilayah di sebelah barat Sungai Mekong sebagai hak Perancis.

Ø Siam enggan mengakuinya menyebabkan Perancis menghantar 2 buah kapal di Paknam pada tahun 1893. Pertempuran berlaku dengan Siam di Paknam. Peristiwa ini membimbangkan Siam. Siam setuju berdamai dan menyerahkan Luang Prabang dan seluruh wilayah di sebelah barat Sungai Mekong. Siam juga berjanji akan mengundurkan tenteranya dari Battambang dan Siem Reap.

Ø Perancis kemudian menyatukan kedua-dua wilayah berkenaan menjadi Laos. Luang Prabang dikekalkan sebagai sebuah negeri naungan di bawah rajanya.


B. India (10 markah)

Zaman Lord William Bentick

Ø Lord William Bentinck telah mengilhak wilayah-wilayah Cachar,Coorg dan Mysore. British telah menggunakan alasan bahawa Raja Cachar mangkat tanpa meninggalkan waris. Lord Bentick , Gabenor Jeneral India, 1828-1835 melakukan ugutan dan seterusnya mengilhakan beberapa wilayah di India.

Ø Walaupun pada banyak keadaan William Bentick mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal-ehwal negeri-negeri, tetapi beliau campurtangan juga apabila didapati perlu. Beliau mengambil alih negeri kecil Coorg di Selatan India di atas permintaan penduduk-penduduk tempatan kerana penyelewengan dan kezaliman pemerintah.Rajanya dibersarakan dan pemerintahannya diletakkan di bawah pegawai-pegawai British.

Ø Pada tahun 1832, wilayah kecil Cachar di sempadan timur laut Benggal juga diambilalih atas permintaan penduduk-penduduknya. Raja Cachar meninggal dunia tanpa meninggalkan waris. Atas permintaan penduduk William Bentick telah mengambil alih pemerintahan di situ.

Ø Pada tahun 1835 beliau telah meletak jawatan dan diganti dengan Lord Auckland. Semasa pentadbirannya sehingga 1842 beliau tidak sempat mengilhakkan kawasan di India kerana zaman pentadbirannya dipenuhi dengan pergolakan di sempadan . Kebangkitan menentang British juga berlaku di sana tambahan pula ketika itu Russia mula meluaskan pengaruhnya di Afghanistan.


Zaman Lord Ellenborough

Ø Sind ialah wilayah India yang merangkumi Lembah Indus yang rendah ke Selatan Punjab dan terus menuju ke laut.Sejak 1809, British telah mengadakan hubungan dengan British. Pada tahun 1809 British telah menandatangani perjanjian dengan Amir-Amir untuk menghalang pengaruh Perancis. Semasa peperangan Afghanistan , Sind telah menjadi pengkalan gerakan British.

Ø Perjanjian pada tahun 1832 menyatakan bahawa pedagang dibenarkan menggunakan jalan sungai dan jalan raya. Kapal dan tentera bersenjata tidak dibenarkan melalui negeri itu. Semasa peperangan Afghanistan syarat ini dicabuli apabila Lord Auckland mengarahkan tenteranya berbaris di Sind.
Semasa pemerintahan Lord Ellenborough, Sind telah diilhakkan ekoran peperangan Afganistan.

Ø Lord Ellenborough juga bertindak terhadap wilayah Gwalior . Sejak tahun 1818 kawasan ini diperintah oleh Daulat Rao Sindhia ketua puak Maratha. Pada tahun 1827 Daulat Rao meninggal dunia dan seorang yang masih muda menjadi pengganti, sementara janda beliau memangku jawatan raja. Ketidakstabilan kerajaan ini mengundang kemungkinan berlakunya perang saudara. Tentera Gwalior seramai 40 000 orangnya.

Ø Sementara itu, di Punjab Maharaja Sikh mati dibunuh oleh pemberontak istana. Tentera seramai 70 000 orang semakin berpengaruh. Ellenborough sangat bimbang jika tentera-tentera ini bergabung. Pada 29 Disember 1843 tentera British telah menyerang Gwalior dan mencapai kemenangan. Gwalior dijadikan negeri lindungan British dan menerima seorang Residen. Tidak lama kemudian Ellenborough digantikan oleh Sir Hendry Hardinge.


Zaman Lord Delhouise

Ø Lord Delhousie menggunakan 3 alasan untuk melakukan pengilhakan. Antaranya, hak menakluk kuasa agung, iaitu Syarikat Hindia Timur Inggeris. Ke dua Doctrine of lapse / undang-undang lesap waris dan ketiga keinginan untuk meluaskan kebaikan dan faedah yang dibawa oleh pemerintah British ke atas wilayah yang dibelenggu masalah pemerintahan.

Ø Pengilhakan cara pertama dilakukan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) ke atas Wilayah Punjab. Lord Delhouise mengisytiharkan perang ke atas kaum Sikh dan mengalahkan mereka di Gujerat. Dengan ini, empayar British diperluaskan ke kawasan pergunungan Afghanistan.

Ø Pengilhakan melalui cara kedua dilakukan dengan menggunakan alasan undang-undang lesap waris. Menurut doktrin ini, sekiranya pemerintah mana-mana negeri atau wilayah mangkat tanpa meninggalkan waris keturunannya sendiri kerajaan itu akan diambil alih oleh British.

Ø Jhansi di negeri Maratha pula diilhakkan oleh British pada tahun 1854.
Jhansi adalah sebuah negeri pada awal abad ke-19 dan menyokong Kompeni Hindia Timur. Raja Jhansi yang jatuh sakit pada tahun 1853 tidak mempunyai putera untuk mewarisi tahtanya. Setelah dinasihati pembesar baginda mengambil seorang anak angkat dan dilantik sebagai bakal pengganti.

Ø Lord Delhousie menyatakan yang anak angkat tersebut tidak sah selagi tidak mendapat pengiktirafan British. Oleh kerana Lord Delhousie ingin menguasai Jhansi, beliau tidak mengiktirafkan anak angkat tersebut. Balu Raja Jhansi, Lakshmibhai mengutuskan surat kepada British pada 3 Disember 1853, 16 Februari 1854 dan 22 April 1854 untuk membantah sikap British mengilhakkan Jhansi.

Ø Lord Delhousie tidak melayan tuntutan balu Raja Jhansi ini. British menawarkan pencen seumur hidup kepada balu Raja Jhansi sebanyak 60 000 rupi dan membenarkan baginda tinggal di istana Jhansi. Melalui kaedah ini wilayah lain yang diilhakan ialah Sarata, Jaitpur, Baghat, Sambalpur dan Sutlej

Ø Pada tahun 1854, British mengilhak Nagpur. Nagpur juga di negeri Maratha dan luasnya ialah 80 000 batu persegi. British berpendapat Nagpur bukan sahaja dapat menyumbang pendapatan sebanyak 40 laksa setahun tetapi juga dapat menguatkan kedudukan tentera serta menambahkan sumber perdagangan British. Begitu juga dengan jajahan Berar yang diletakkan di bawah kawalan British. Nizam hanya mempunyai kedaulatan dari segi nama sahaja.

Ø Seterusnya pada tahun 1856, Awadh pula diilhakkan oleh British. Ketika pemerintahan Wajid Ali Shah, baginda dalam keadaan sihat dan mempunyai putera pengganti menyebabkan Lord Delhousie tidak menjalankan dasar pengilhakan .Walaupun demikian, Kompeni mengugut Awadh supaya mengubah pentadbiran atau hukuman British.Tanpa alasan nyata British mengilhak Awadh pada tahun 1865.

Ø Pengilhakan Awadh ini menjadi salah satu faktor mencetuskan konflik 1857. Dalam pada itu, British juga telah mengubah dasarnya ,iaitu Kerajaan British membubar Kompeni Hindia Timur dan membentuk kerajaan India.Kerajaan baru ini mengambil langkah tidak meneruskan dasar pengilhakan.

Ø Melalui cara ke tiga, penyelewengan pentadbiran tempatan pula wilayah Oudh diletakkan di bawah naungan SHTI oleh Lord Wellesley. Alasan Wellesley ialah pentadbiran negeri tersebut yang diketuai oleh Nawab berada dalam keadaan huru- hara dan amalan rasuah yang berleluasa. Lord Delhousie menggunakan peraturan ini untuk mengilhak Oudh. Lord Delhouise menawarkan satu perjanjian baru untuk mengambil alih kerajaan Oudh. SHTI akan mengambil alih kerajaan dan Nawab akan dibenarkan mengekalkan gelaran serta dibayar 15 000 rupi.

Ø Apabila Nawab enggan menandatangani perjanjian tersebut, Lord Delhouise mengambil keputusan menjalankan dasar pengilhakan atas alasan penyelewengan pemerintahan.


Kesimpulan (2/3 markah)

Dasar pengilhakan telah berjaya meluaskan penjajahan kuasa Barat. Di Indo-China Perancis berjaya meluaskan pengaruhnya hingga ke Laos dan Kemboja ,manakala di India Empayar Inggeris tersebar luas diseluruh India. Dasar ini akhirnya mencetuskan penentangan dalam kalangan penduduk tempatan seperti Dahagi di India.































Soalan 11

Mengapakah perjuangan Parti Komunis China (PKC) lebih berjaya berbanding perjuangan Parti Komunis Indonesia (PKI) pada pertengahan abad ke 20.

Pendahuluan (3/2 markah)

Secara umumnya penubuhan parti komunis adalah bertujuan untuk mengulingkan kerajaan sedia ada dan menubuhkan Republik Komunis melalui revolusi. Merujuk kepada Parti Komunis China dan Parti Komunis Indonesia , ternyata mempunyai pencapaian yang agak berbeza . PKC ditubuhkan pada tahun 1921 di Shanghai oleh Mao Tze Tung manakala PKI oleh Semaun dan Darsono. Walaupun idealogi perjuangan kedua-dua parti ini sama iaitu bersifat radikal namun pencapaian PKC lebih berjaya berbanding PKI .

Isi (20 markah)

A. Parti Komunis China (10 markah)

i) Sokongan Kaum Tani

Ø Mao Tze Tung menegaskan bahawa sokongan daripada kaum petani amat penting bagi menjayakan revolusi untuk menumbangkan kerajaan parti KMT. Beliau berjaya menawan hati dan mengerahkan kuasa kaum petani sebagai satu daya pengerak revolusi. Golongan petani dan peniaga yang miskin telah memberi sokongan kepada PKC kerana mereka merasakan ditindas dan terbiar tanpa pembelaan.

Ø PKC juga menggunakan kuasa revolusi kaum petani dan menyatukan tenaga kaum tani ke arah pembentukan kuasa politik yang kuat. Salah satu usaha PKC yang berkesan ialah berbaik-baik dengan penduduk luar bandar terutama petani yang dilakukan oleh PKC sebelum perang lagi. Justeru itu ramai penduduk menyertai PKC dalam siri peperangan dengan KMT.

Ø Selain itu, prinsip komunis dapat diterima oleh kaum tani kerana tindakan PKC yang lebih mengutamakan kerjasama dalam pemulihan tanah, pertukaran buruh bagi kaum petani dan menubuhkan koperasi perusahaan kecil bagi kaum petani serta konsep persamaan taraf tanpa mengira kedudukan ekonomi.

Ø Reformasi pertanian yang djalankan dengan penekanan kepada pengurangan sewa, koperasi dan mengambil berat tentang kebajikan petani merupakan antara tarikan kepada kejayaan perjuangan PKC. Dasar PKC ini juga dilihat sebagai memenuhi idea-idea Sun Yat Sen khususnya 3 prinsip rakyat. Umumnya PKC telah dapat menarik minat penduduk China dengan dasar yang adil dan cuba menghapuskan tindakan kejam para tuan tanah.






ii) Sokongan Rusia

Ø PKC mendapat sokongan dari Kerajaan Rusia yang mempunyai ideologi yang sama dengan PKC. Rusia campurtangan dengan membantu PKC merampas kuasa dan menghalang KMT mengukuhkan kuasanya dengan menyekatkan kemasukan tentera KMT. Russia juga telah menolong PKC semasa merampas senjata yang ditinggalkan oleh Jepun.

iii) Kedudukan KMT yang lemah

Ø KMT lemah dan tidak upaya mengawal tindak tanduk PKC. Selepas Jepun menyerah kalah tentera KMT mula bersikap seperti penakluk baru yang angkuh. Pihak KMT juga melakukan penindasan terhadap golongan anti kerajaan dalam kalangan intelektual dan pemimpin anti kerajaan . Mereka ditangkap dan dibunuh. Malahan penduduk bandar juga telah bosan dengan sikap KMT yang kejam dan keadaan ekonomi China yang meleset .

Ø Tuduhan terhadap KMT sebagai neokolonialisme dan bersubahat dengan Barat telah memberi semangat baru kepada ahli-ahli PKC. Mereka merampas harta benda untuk kepentingan sendiri dan bukan untuk memperbaiki kehidupan penduduk.

Ø Suasana tertekan penduduk menyebabkan masyarakat Cina menganggap PKC sebagai penyelamat mereka. Tambahan pula pihak Amerika tidak dapat memberi bantuan ketenteraan kepada KMT. Malahan bantuan kewangan yang diberikan oleh Amerika telah disalahgunakan oleh KMT. Pegawai KMT menjual senjata dan ubat ubatan kepada PKC menyebabkan masyarakat Cina hilang kepercayaan dan kesetiaan kepada KMT.

iv) Kepimpinan yang berwibawa

Ø PKC mempunyai pemimpin yang berkaliber dan berwibawa iaitu Mao Tze Tung dan Chu Teh. Kalangan tentera PKC amat berdisiplin dan dibekalkan dengan strategi perang gerila. Salah satu idea PKC ini ialah pembentukan sel-sel komunis pada tahun 1920 dan 1921 seperti di Wuhan, Changsha, Canton , Paris dan Jepun oleh pelajar China di sana. Persatuan-persatuan komunis inilah yang berperanan dalam menyebarkan fahaman komunis dalam kalangan pekerja Cina.

Ø Selain itu, akhbar-akhbar rasmi diterbitkan untuk memberi penerangan kepada golongan massa tentang komunis seperti Dunia Pekerja di Shanghai , Suara Pekerja di Beijing dan Buruh di Canton.


B. Parti Komunis Indonesia (10 markah)

i) Tiada sokongan Rakyat (kaum Petani)

Ø Petani merupakan 90 % daripada jumlah penduduk di Indonesia. PKI kehilangan sokongan gol petani kerana dasarnya yang mengabaikan perjuangan Sarekat Islam. Selain itu, PKI lebih mengutamakan kaum buruh daripada petani. Ini merupakan satu kesilapan kerana kaum tani merupakan sebahagian besar penduduk Indonesia. Fahaman Marx dan sosialis yang lebih menekankan kaum buruh ternyata satu fahaman asing bagi penduduk tempatan Indonesia.

Ø Selain itu, majoriti penduduk Indonesia terutama di pulau Jawa dan Sumatera, sebahagian besar beragama Islam. Mereka tidak menyokong perjuangan komunis. Idealogi dan tindakan komunis menggunakan kekerasan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.Hanya segelintir penduduk tempatan yang menyokong revolusi ini . Mereka sebenarnya tidak mengetahui tujuan sebenarnya revolusi itu.

ii) Tiada sokongan Comintern dan Rusia

Ø PKI tidak mendapat sokongan daripada Comintern dan Russia. Comintern dan Rusia tidak bersetuju dengan dasar PKI yang membelakangkan Sarekat Rakyat dan menolak kerjasama dengan parti nasionalis yang lain seperti Sarekat Islam dan Budi Utomo. Mereka juga tidak bersetuju dengan rancangan revolusi PKI kerana menganggap PKI belum mencapai kerjasama antara kelas pekerja dengan semua golongan nasionalis revolusinar yang diperlukan untuk menjayakan revolusi komunis itu.

Ø Wakil Comintern bagi Asia dan Australia ketika itu berada di Manila tidak bersetuju dengan keputusan melancarkan revolusi. Beliau berpendapat masa belum tiba untuk berbuat demikian. Pihak Comintern mengencam revolusi yang didokong oleh golongan pelampau seperti Alimin dan Musso.

Ø Pemimpin-pemimpin pelampau dalam PKI bertindak menolak segala perintah dan arahan Comintern yang mencadangkan pembentukan satu barisan bersatu anti penjajahan dengan pertubuhan nasionalis bukan komunis. Tindakan ini tentunya bertentangan dengan prinsip Kongres Komunis Antarabangsa dan menyebabkan perpecahan kepada PKI itu sendiri.

iii) Tekanan Kerajaan Belanda

Ø Belanda mengenakan tindakan menindas yang melemahkan revolusi PKI. Kerajaan Belanda telah bertindak mengharamkan parti dan kesatuan buruh daripada mengadakan perhimpunan. Ini menyekat hubungan antara PKI dengan kesatuan sekerja malahan sebarang mesyuarat komunis tidak dibenarkan. Sebarang tunjuk perasaan dan kebebasan akhbar turut diharamkan. Tindakan ini tentunya menyulitkan pergerakan komunis.

Ø Pihak Kerajaan Belanda juga melalui perkhidmatan Inteligen Belanda berjaya mengesan rancangan PKI untuk melancarkan revolusi bersenjata.Tindakan kerajaan Belanda telah menjejaskan rancangan pemogokan dan strategi revolusi. Antara tindakan Kerajaan Belanda yang berjaya melemahkan PKI ialah melarang PKI dan parti berhaluan kiri mengadakan perhimpunan, menangkap dan membuang beberapa pemimpin buruh seperti Tan Malaka, Semaun, Haji Misbah dan Darsono, menangkap dan membuang segelintir pemimpin komunis ke New Guinea.

Ø PKI cuba mengadakan revolusi Barat tetapi revolusi ini berjaya digagalkan oleh Belanda. Seramai 13000 orang ditangkap , 4500 dipenjara dan 1308 ditahan.


iv) Perpecahan dalam PKI

Ø PKI tidak bersatu padu .Pemimpin seperti Alimin dan Musso mengamalkan dasar tidakbertolak ansur dan enggan berkerjasama dengan golongan nasionalis yang lain. Mereka hendak melancarkan revolusi dengan segera. Golongan ini tidak sependapat dengan golongan liberal seperti Tan Malaka dan Semaun. Senario ini memberi kesan kepada kekuatan PKI berikutan perselisihan faham di kalangan pemimpinnya.


v) Bantuan British

Ø Kerajaan British di Tanah Melayu turut memberi bantuan kepada Belanda melalui
penyebaran maklumat mengenai kegiatan komunis.British juga membantu Belanda mematahkan percubaan PKI untuk merampas kuasa. British membantu Belanda menangkap Alimin dan Musso di Johor Bahru.

vi ) Fahaman Komunis Bertentangan dengan Islam

Ø Lebih 90% penduduk Indonesia adalah beragama Islam. Mereka menentang ideologi komunis yang menolak konsep ketuhanan. Strategi agresif yang digunakan oleh PKI seperti pemogokan dan pemberontakan juga sukar diterima oleh penduduk Indonesia .


Kesimpulan (2/3 markah)

PKC berjaya merampas kuasa dari KMT dalam perang saudara dan menubuhkan Republik Rakyat China pada tahun 1949. Akhirnya China telah muncul sebagai pusat penyebaran ideologi komunis di rantau Asia. Manakala PKI pula gagal menggulingkan kerajaan Belanda malah telah diharamkan di Indonesia. Akhirnya ideologi komunis di Indonesia tidak lagi relevan dan tidak mendapat tempat dalam arena politik Indonesia.

















Soalan 12

Bincangkan dasar luar Myanmar dan Thailand selepas Perang Dunia
Kedua

Pendahuluan (3/2 markah)

Myanmar mencapai kemerdekaan pada tahun 1948. Dasar luar Myanmar hampir sama dengan negara jirannya India iaitu, mengamalkan dasar berkecuali. Dasar luar Thailand pula bersifat pro-Barat. Dasar ini dilaksanakan demi menjaga kepentingan dan kedaulatan negaranya. Dasar ini juga bertujuan untuk menyekat perkembangan pengaruh komunis yang sedang bertapak di Indo-China. Myanmar dan Thailand telah menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa dan serantau khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Isi – (20 markah)

A. Myanmar (10 markah)

Ø Menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam Perang Korea, Myanmar turut memainkan peranan dan bekerjasama dengan PBB, iaitu terlibat secara tidak langsung dalam Perang Korea. Myanmar telah bekerjasama dengan PBB, untuk mencegah pencerobohan Korea Utara terhadap Korea Selatan.

Ø Dalam menyelesaikan masalah sempadan dengan China, Myanmar telah mendapatkan bantuan PBB untuk memindahkan tentera-tentera Kerajaan Nasionalis China di sempadan Myanmar kembali ke China.

Ø Polisi luar negara Myanmar adalah dasar berkecuali terutama dalam menghadapi pertelingkahan Blok Barat dengan Blok Komunis dan telah menolak penyertaan dalam pertubuhan SEATO. Myanmar di bawah Perdana Menteri U Nu telah menjalinkan hubungan erat dengan banyak negara terutamanya negara-negara jiran. Myanmar turut mengambil beberapa langkah perdamaian:

a. Mengakui kedaulatan / mengiktiraf Republik Rakyat China pada tahun 1949.
b. Membuat perjanjian persahabatan dengan Indonesia, India dan Pakistan.
c. Membuat lawatan muhibbah ke Bangkok pada 1954 dan turut meminta maaf kepada Thailand atas sikap agresif Myanmar pada masa dahulu.
d. Myanmar turut mengutuk keganasan yang dilakukan oleh Rusia ke atas Hungary serta serangan sekutu Britain terhadap Mesir pada tahun 1956 selaras dengan piagam PBB,iaitu memelihara keamanan sejagat.

Ø Menjalinkan hubungan perdagangan dengan Negara China, India, Amerika Syarikat dan negara-negara Asia Tenggara. Merupakan bekas tanah jajahan British dan dengan itu Myanmar turut menyertai pertubuhan Komanwel.








B. Thailand (10 markah)

Ø Thailand di bawah pentadbiran Phibul Songgram melaksanakan polisi luar pro-Barat khususnya dengan Amerika Syarikat. Menyertai dan menganggotai banyak pertubuhan dan badan serantau mahupun antarabangsa. Menyertai Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara (SEATO) yang ditubuhkan oleh Amerika Syarikat pada 1955 untuk menyekat perkembangan pengaruh komunis malah Bangkok turut dijadikan ibu pejabat pertubuhan tersebut.

Ø Thailand mengamalkan dasar antikomunis dan tidak mengiktiraf Kerajaan Beijing malah telah membantah kemasukan China ke dalam PBB. Pada msa yang sama kerajaan Thailand turut mengenakan pelbagai sekatan terhadap peniaga-peniaga Cina di Thailand.

Ø Thailand telah menyertai PBB mulai 1946 dan telah memainkan peranan penting dalam PBB . Thailand sering menghantar pasukan tentera sama ada tentera pengaman mahupun pemerhati di negara-negara yang bergolak termasuk di Korea.Thailand telah membantu Amerika Syarikat dengan menghantar 20,000 tan beras malah tenteranya turut serta menentang tentera China dan Korea Utara dalam Perang Korea.

Ø Ketika Amerika Syarikat menjalankan operasi ketenteraan di Indo- China, Thailand telah menyediakan pangkalan tentera udara untuk kegunaan Amerika Syarikat.Pada tahun 1956 hingga 1957, Putera Waithayakon telah dilantik sebagai telah dilantik sebagai preiden Persidangan Perhimpunan Agung PBB yang ke-11.

Ø Thailand turut menganggotai Persidangan Solidariti Afro-Asia, Suruhanjaya Beras Antarabangsa, Suruhanjaya Perhutanan Asia-Pasifik, Majlis Perikanan Indo-Pasifik dan Kumpulan Penyelidikan Bijih Timah Antarabangsa. Dengan menganggotai pelbagai pertubuhan, Thailand telah menerima pelbagai faedah termasuklah bantuan kewangan daripada PBB untuk projek pertanian, industri dan kesihatan.

Ø Amerika Syarikat turut menghulurkan bantuan ekonomi kepada Thailand khususnya untuk pembangunan punca-punca semulajadi, kemudahan pengangkutan dan kemudahan tenaga. Perdagangan dua hala turut meningkat.Thailand turut menyertai Rancangan Colombo dengan menjadi rakan kongsi projek pembangunan di Lembangan Mekong Hilir bersama-sama Kemboja, Laos dan Vietnam.

Ø Dari segi perdagangan luar, Thailand telah menjalin hubungan dengan pelbagai negara termasuklah Tanah Melayu, Jepun, Indonesia, Hong Kong, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Ø Eksport utama Thailand termasukah beras, getah, bijih timah, kayu jati, jut, minyak masak dan tembakau manakala Thailand mengimport tekstil, esin petroleum, besi, keluli,kenderaan, barangan elektrik dan kertas yang mana kebanyakannya diimport daripada Jepun Amerika Syarikat dan United Kingdom.





Kesimpulan (2/3 markah)

Dasar luar Myanmar bersifat berkecuali untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau manakala Thailand melaksanakan polisi pro-Barat demi menjaga kepentingan dan kedaulatan negara khususnya untuk menyekat perkembangan pengaruh komunis yang sedang bertapak di Indo-China. Myanmar memilih untuk tidak memihak kepada mana-mana negara yang bersengketa terutamanya ketika perbalahan Blok Barat dan Blok Komunis. Kedua-dua negara walaupun mengamalkan polisi luar yang berbeza tetapi tetap menjalinkan hubungan perdagangan dengan pelbagai negara dan telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan di kedua-dua buah negara.













































Bahagian A


1. Huraikan peranan raja di Negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British 1874. [ 25 markah ]

2. Bincangkan kegiatan ekonomi tradisional di Malaysia sebelum campur tangan British. [ 25 markah ]

3. Bincangkan penglibatan pengaruh asing di Sarawak sehingga 1842 dan Sabah sehingga 1881. [ 25 markah ]

4. Jelaskan perubahan-perubahan politik,ekonomi,dan sosial di Negeri-negeri Melayu dari tahun 1874 sehingga 1896. [ 25 markah ]

5. Huraikan langkah-langkah ke arah kemerdekaan Tanah Melayu dari tahun 1949- 1957. [ 25 markah ]

6. Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan dasar luar Malaysia dari tahun 1957 hingga 1963. [ 25 markah ]


Bahagian B


7. Huraikan sistem pembesar di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan kan perjuangan Jose Rizal di Filipina dan Ho Chi Min di Vietnam dalam gerakan nasionalisme di negara masing-masing. [ 25 markah ]


8. Bincangkan kesan-kesan Perjanjian Yandabo di Myanmar (1826) dan Perjanjian Nanking (1842) di China. [ 25 markah ]


9. Bincangkan dasar pengilhakan kuasa Barat di India dan di Vietnam pada abad ke-19. [ 25 markah ]

11. Mengapakah perjuangan Parti Komunis China (PKC) lebih berjaya berbanding perjuangan Parti Komunis Indonesia pada pertengahan abad ke-20. [ 25 markah ]

12. Bincangkan dasar luar Myanmar dan Thailand selepas Perang Dunia ke-2 [ 25 markah ]

No comments:

Post a Comment

Post a Comment